|
|
SUASANA persekitaran di resort yang dikelilingi tasik, sungai dan hutan itu riuh rendah dengan suara sekumpulan peserta yang sedang mengikuti satu program latihan.
Dalam kedudukan berbaris, kesemua memandang tepat ke arah jurulatih berpengalaman, Abdul Wahab Daud yang menyampaikan taklimat mengenai aktiviti ikhtiar hidup di dalam hutan.
Peserta mendengar dengan teliti setiap arahan yang diberikan. Program yang dikendalikan oleh Jejak Belantara itu dikenali sebagai Kem Latihan Keupayaan Bertindak berlangsung pada 2 hingga 4 Julai 2010 di Riverstone Eco Resort di Hutan Lipur Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.
Para peserta terdiri daripada kakitangan sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur yang terlibat dalam pasukan keupayaan bertindak (ERT) di bank berkenaan. Sepanjang tiga hari dua malam mengikuti latihan, para peserta melalui pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental.
Antara aktiviti pada hari pertama adalah pembentukan kumpulan, bantu mula dan pengenalan ikatan dan simpulan tali. Pada tengah malamnya, ketika para peserta nyenyak tidur, kawasan penginapan mereka digegarkan dengan simulasi gempa bumi. Dalam aktiviti itu, para peserta diajar mengenai cara-cara menyelamatkan diri jika kejadian berlaku di tempat kerja.
Pada hari kedua pula, aktiviti pertama yang menanti mereka adalah berakit. Peserta diajar cara-cara membuat rakit daripada buluh dan kemudian mengemudinya di tasik berhampiran.
Belum pun penat berakit hilang, peserta dibawa pula merentas hutan menuju ke satu destinasi bagi menjayakan program ikhtiar hidup.
Dalam perjalanan tersebut, para peserta diberi tugasan untuk mencari dan menyelamat mangsa.
Mereka turut diajar memasak menggunakan bahan atau sumber dari alam semula jadi. Kemahiran peserta memasak nasi, ayam dan ikan sardin di dalam buluh diuji.
Ikhtiar hidup adalah untuk meningkatkan kreativiti dan daya fikir peserta bertindak dalam keadaan terdesak atau jika kekurangan sumber. Setelah selesai program ikhtiar hidup, para peserta merentas kembali hutan untuk ke tempat aktiviti abseiling iaitu menuruni curam setinggi 20 meter dengan menggunakan tali dan peralatan mendaki.
Ia adalah salah satu aktiviti menguji keberanian peserta sekali gus menanamkan sifat percaya kepada diri sendiri dan persekitaran serta semua yang terlibat.
Selesai semua kegiatan lasak, pada petang hari kedua, para peserta diuji kemampuan dan sensitiviti berkumpulan dalam permainan menyelesaikan masalah. Pada malamnya pula, satu lagi permainan yang diberi nama misi pasukan telah diadakan. Setiap kumpulan diberikan satu risalah yang mempunyai kod-kod rahsia yang perlu dipecahkan bersama petunjuknya sekali.
Dalam aktiviti tersebut, peserta perlu bijak mengurus pasukan masing-masing melibatkan aspek pengurusan dari segi kewangan, arahan dan jual beli. Ini dapat melahirkan gerak kerja berpasukan seperti kerjasama, membuat keputusan, penyelesaian masalah, komunikasi dan lain-lain nilai positif. Aktiviti ini dapat meningkatkan keberkesanan tahap pengurusan dalam sesebuah kumpulan atau organisasi.
Menurut Pengasas Jejak Belantara, Muzisham Halimy Abd Munir, 39, selesai fasa tersebut dan tanpa diketahui peserta, mereka telah diarah untuk menyelamatkan 'mangsa' dalam satu simulasi kebakaran.
Ia seolah-olah simulasi sebenar sesuatu kemalangan atau kebakaran di mana setiap peserta dikehendaki membentuk satu pasukan yang mempunyai cukup anggota bagi melakukan pelbagai tugas menyelamat termasuk memadam kebakaran, pasukan penyelamat, perubatan, pasukan simpanan sehinggalah tugasan kepada memanggil ambulans.
Persekitaran resort pada malam tersebut telah bertukar menjadi seolah-olah satu kawasan bencana dengan mock-up kebakaran dan solekan pada 'mangsa'.
'Mangsa' juga telah memberi tekanan kepada pasukan yang ingin menyelamatkan mereka dengan melakonkan aksi sebenar apabila diarah oleh jurulatih.
Pada hari ketiga, peserta disajikan dengan permainan paintball pada sebelah pagi. Selepas itu, peserta menyertai acara menerapkan nilai-nilai positif kepada rakan-rakan lain yang mana setiap peserta dikehendaki memberitahu tentang kebaikan diri rakan peserta yang ditemuinya.
"Ini dapat membantu peserta menghargai dan mempercayai diri sendiri. Ia juga dapat membentuk keyakinan diri setiap peserta pada tahap yang tinggi," kata Muzisham Halimy.
Pada akhir program, sesi imbasan keseluruhan diadakan. Jurulatih dan peserta dikehendaki mengeluarkan pendapat mengenai keseluruhan program.
Keseluruhannya, program tersebut berjaya dan peserta dapat mengharung segala cabaran yang telah disusun yang mana ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan minda mereka.
Dalam pada itu, Muzisham Halimy memberitahu setiap latihan yang ditawarkan oleh Jejak Belantara mempunyai modul-modul yang disusun rapi. Ia supaya bersesuaian dengan kumpulan sasaran yang mengikuti program.
Setiap modul yang disusun mempunyai kaitan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian atau karier.
Selain daripada ketahanan fizikal, para peserta akan dilatih dan diuji dalam pelbagai bentuk emosi supaya mereka dapat bekerja dalam situasi tekanan, seronok, marah, gembira dan berbagai-bagai lagi.
Jejak Belantara yang beroperasi di Shah Alam sering mengadakan aktiviti di Riverstone Eco Resort kerana menurut Muzisham Halimy, kawasan itu menyediakan hampir semua keperluan untuk kem latihan seperti ini.
Selain itu, jurulatih Jejak Belantara juga bersedia untuk berada di mana sahaja lokasi mengikut permintaan. Bagi mereka yang ingin mengenali atau mana-mana organisasi berminat untuk merasai kelainan dalam latihan dan pengalaman yang banyak menggunakan alam semula jadi sebagai medium, boleh berhubung terus dengan menelefon talian 013-3116841 atau layari www.jejakbelantara.webs.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: