Saturday, July 31, 2010

Kos kahwin anak Clinton RM9.54j


CHELSEA CLINTON


RHINEBECK, New York - Kos perkahwinan Chelsea Clinton berumur 30 tahun yang merupakan anak bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton di sebuah hartanah peribadi di New York hari ini dianggarkan mencecah lebih AS$3 juta (RM9.54 juta).

Walaupun pakar-pakar industri perkahwinan menganggarkan kosnya hampir AS$5 juta (RM15.9 juta), namun Timbalan Editor majalah Brides, Sally Kilbridge menyatakan Chelsea tidak akan bersikap begitu ekstrem.

"Saya fikir kosnya ialah di antara AS$2 juta (RM6.3 juta) hingga AS$3 juta (RM9.54 juta)," katanya.

Antara kos anggaran yang dinyatakan oleh Kilbridge ialah gaun perkahwinan Vera Wang berharga AS$20,000 (RM63,630), kek lima tingkat buatan Sylvia Weinstock berharga AS$20,000 (RM63,630), kos bunga-bungaan AS$250,000 (RM795,374) dan katering bernilai AS$750,000 (RM2.38 juta).

Anggaran lain meliputi khemah berharga AS$600,000 (RM1.9 juta), kos tandas bergerak AS$15,000 (RM47,722) hingga AS$20,000 (RM63,630) dan kos hiburan AS$40,000 (RM127,260).

Chelsea yang juga anak perempuan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton itu berkahwin dengan seorang pegawai bank pelaburan, Marc Mezvinsky berusia 32 tahun.

Kira-kira 500 orang tetamu diundang untuk menghadiri majlis itu.

Bill yang menjadi Presiden AS pada tahun 1993 hingga 2001 sebelum George W. Bush dan Barack Obama itu dilaporkan tiada masalah untuk membiayai perkahwinan tersebut kerana beliau memperoleh pendapatan AS$40 juta (RM127 juta) hanya dengan mengadakan ceramah sejak enam tahun lalu. Bagi memastikan majlis berjalan lancar, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan turut membantu dengan mengumumkan zon larangan terbang di sepanjang tebing Sungai Hudson.

Pihak polis juga menjangka kehadiran kumpulan wartawan dan orang awam namun ketua polis negeri, Mejar Michael A. Kopy yakin bahawa pelan-pelan trafik yang digunakan pada acara-acara besar sebelum ini adalah berkesan untuk memastikan kelancaran majlis berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: