Thursday, July 29, 2010

Juara Rakan Sebaya di IPT


Shahrizat Abdul Jalil bersama pelajar-pelajar Kolej Pendeta Za'ba pada majlis perasmian program Kami Prihatin Bersama UKM di Bangi semalam. Turut kelihatan ialah Profesor Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin (baju merah), Aziz Ishak dan Freedie Fernandez (lima dan tujuh dari kanan) serta Rozina Aziz (tiga dari kiri). – mingguan/azli ahad


BANGI 24 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan program ‘Juara Rakan Sebaya’ di semua institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara demi memastikan program Kami Prihatin dapat diperkukuhkan.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program itu akan dijalankan dalam masa terdekat ini membabitkan penglibatan 105,377 pelajar baru.

Beliau berkata, pembabitan Juara Rakan Sebaya ini penting dalam membantu usaha kerajaan membanteras gejala sosial terutama masalah pembuangan bayi yang rata-ratanya berlaku di kalangan anak muda.

“Kalau mahu membentuk remaja, kita seharusnya memahami perjalanan kehidupan mereka. Justeru peranan mentor adalah mustahak.

“Sebagai mahasiswa mereka ini berpendidikan dan mempunyai pengaruh serta menjadi contoh terbaik kepada anak-anak muda khususnya kalangan rakan sebaya untuk menyampaikan mesej mengenai gejala ini.

“Kementerian akan memberi sokongan sepenuhnya terhadap penganjuran program tersebut supaya kita dapat membendung isu pembuangan bayi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Kami Prihatin Bersama Universiti Kebangsaan Malaysia anjuran Generasi Prihatin Kolej Pendeta Za’ba UKM di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freedie Fernandez dan Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz.

Program Kami Prihatin yang dicetuskan akhbar Utusan Malaysia telah dilancarkan April lalu dan mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro dan Karyawan.

Shahrizat berkata, usaha UKM sebagai perintis yang menganjurkan program seumpama itu merupakan satu contoh membanggakan berikutan statistik pembuangan bayi yang semakin menakutkan hari ini.

Menurutnya, dari Januari hingga Mei tahun ini sahaja, 38 kes pembuangan bayi dilaporkan manakala statistik tahunan pula adalah 67 kes pada 2005, diikuti 2006 (83), 2007 (76), 2008 (102) dan 2009 (79).

“Hari ini kita nampak satu lagi usaha penyelesaian melalui program seperti ini dan kita berbangga dengan usaha UKM sebagai perintis.

“Ini satu modul yang bijak dan kita berbangga dengan semangat mereka yang bukan sahaja mementingkan ilmiah tetapi juga sahsiah bagi pembangunan modal insan,” katanya.

Dalam pada itu, Sharizat menegaskan, kerajaan mahu pihak berkuasa mempercepatkan tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah membuang dan membunuh bayi.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mereka kerana ini adalah jenayah yang boleh didakwa di bawah dua iaitu Akta Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: