Friday, July 30, 2010

Kehidupan dalam 'kotak berbeza'

SEMUA mata memandang kepada Maya Karin Roelcke ketika ini. Dulu dia dipandang sebagai isteri orang, tetapi sekarang kembali hidup solo.

pix_middle



Apa yang tergambar, kehancuran rumah tangga Maya, baru-baru ini tidak pernah membuatkan kerjaya seni pelakon kacukan Melayu-Jerman ini punah. Sebaliknya, Maya masih tenang menyusun agenda lakonan dan pengacaraan seperti seadanya.

Malah, tawaran lakonan untuk Maya, 31, semakin banyak sehingga ada yang terpaksa ditolak.

Maya sebelum ini berkahwin dengan Muhammad Ali Abdullah (Steven David Shorthose), 40, pada 14 Ogos 2008 di Itali. Namun, pernikahan mereka hanya disahkan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 3 Julai lalu dan dan 13 hari kemudian, 16 Julai, mereka disahkan bercerai talak satu.

Semalam sekitar jam 10.15 pagi, satu temubual dibuat Rap melalui telefon bersama Maya yang diaturkan pihak pengurusannya. Walaupun cuma 20 minit, Maya tetap menjawab setiap pertanyaan dengan baik dan mesra.

"Saya sekarang berada di Pulau Langkawi untuk menjayakan penggambaran filem Ombak Rindu. Ombak Rindu adalah naskhah yang diadaptasikan daripada novel popular yang turut menggunakan judul sama. Ia menceritakan Izzah yang menjadi mangsa bapa saudaranya selepas kematian orang tua," kata Maya ringkas.Memetik sinopsis Ombak Rindu hasil karya novelis Fauziah Ashaari, Izzah, gadis yatim piatu yang kematian ibu dan ayah akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, ayah saudaranya, Taha, mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha cukup tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bala dalam keluarga mereka.


Pada masa sama, Pak Cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual Izzah kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak ayah saudaranya walaupun hatinya meronta.Di situlah dia berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz sanggup 'membeli' Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan mahu membawa dia keluar dari neraka jahanam itu.

Atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah, tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, model dan pelakon terkenal akhirnya menggugat kebahagiaan Izzah dan Hariz. Apakah mereka bermadu?

Filem arahan Osman Ali ini menampilkan rakan seangkatannya dalam Pisau Cukur, pelakon kacak Aaron Aziz sebagai Hariz manakala, Lisa Surihani (Mila). Turut berlakon Umie Aida.

"Ini filem kedua yang saya jayakan bersama Aaron Aziz selepas Pisau Cukur. Bagaimanapun, dalam filem arahan Bernard Chauly dulu, hanya ada satu atau dua babak saja membabitkan kami berdua.

"Berlainan dengan Ombak Rindu, kami muncul dalam banyak babak. Bekerja dengan Aaron sangat menyeronokkan. Dia seorang aktor yang bagus, komited pada lakonannya selain seorang 'gila-gila'.

"Kerja menjadi mudah apabila digandingkan dengan seseorang yang tahu dan bertanggungjawab dengan tugasnya," ujar Maya.

Maya berkata, sepanjang lebih dua minggu terbabit dengan babak emosi akhirnya dia menikmati semula kehidupan yang ceria.

"Dari Alor Setar sampailah ke Langkawi, hampir semua babak yang dijayakan sepanjang lebih dua minggu ini cukup beremosi. Baru hari inilah saya hendak berseronok-seronok.

"Sekejap lagi pelakon dan semua kru akan menaiki bot untuk melaksanakan babak Izzah dan Hariz berbulan madu," katanya yang akan menyiapkan baki penggambaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Cameron Highlands dan Thailand.

Sepanjang berbual dengan Maya, tiada sedikit kedukaan pun kedengaran pada suara Maya walaupun mungkin bagi wanita lain saat yang sedang dilalui pelakon jelita ini membuahkan emosi yang tidak keruan.

Ditanya bagaimanakah dia mengimbangi perasaan dan mengharungi dengan tenang di lokasi, Maya berkata: "Saya perlu tolak ke tepi realiti hidup dan lakonan. Kalau boleh tidak mahu membicarakan mengenai hal rumah tangga dan minta jasa baik anda (wartawan) untuk tidak menokok tambah walau sepatah perkataan pun mengenai kenyataan saya ini.

"Secara ringkas saya mengibaratkan kehidupan saya sebagai kotak yang berbeza-beza. Hal peribadi saya simpan dalam kotak yang berlainan dan tidak mungkin berkongsi 'privacy' saya itu dengan orang lain.

"Begitu juga dengan soal kerjaya, saya tempatnya dalam kotak yang berbeza. Apabila saya berada di lokasi untuk berkerja saya harus profesional dan tidak mencampur adukkan urusan peribadi.

"Dengan cara inilah baru saya dapat beri tumpuan kepada kerja saya," katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu Rap, selesai saja penggambaran Ombak Rindu, Maya akan terbabit pula dengan penggambaran filem epik, Taming Sari yang turut dibintangi Fauzi Nawawi sebagai Hang Tuah dan Wan Raja (Megat Panji Alam). Maya sendiri akan melakonkan peranan Tun Teja.

Saat hal ini diajukan kepada Maya, dia tidak mengiyakan atau menafikan.

"Apa yang boleh saya katakan memang saya sudah membuat persetujuan untuk membintangi sebuah filem epik dan penggambaran akan dijalankan sepanjang Ramadan nanti.

"Maafkan saya kerana belum sedia berkongsi judul ceritanya kepada umum kerana lebih manis kalau produsernya sendiri yang membuat pengumuman," katanya.

Dek tawaran berlakon yang melimpah ruah, akui Maya projek pembikinan album solo terbaru masih ditangguhkan lagi.

"Setakat ini tinggal tiga lagu saja lagi untuk dirakamkan manakala tiga lagi masih mencari lagu yang sesuai. Ikutkan hati, memang saya mahu segera menyiapkan album ini memandangkan hampir lapan tahun lamanya tidak muncul dengan album.

"Apabila difikir-fikirkan, kalau lambat pun tidak mengapa mengenang tanggungjawab serta komitmen saya sebagai pelakon, pengacara dan duta produk.

"Saya harus bekerja secara intim dan mengikuti segala aktiviti yang sudah diaturkan," katanya.


PROFIL
Nama: Maya Karin Roelcke
Tarikh Lahir: 29 Oktober 1979
Tempat Lahir: Bayreuth, Bavaria, Jerman
Profesion: Pelakon, Penyanyi, Model, Pengacara
Status: Berkahwin
Filem: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau Cukur
Album: Erti Cinta, Bukan Qalamaya
Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005; Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.

1 comment:

  1. shateklah dia ni..tp kenapalah dia harus bercerai dengan suaminya

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: