Thursday, July 29, 2010

Arab Saudi jamin visa umrah segera


Sebahagian peserta Persidangan Antarabangsa Pelancongan Muslim, Haji & Umrah 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


HARI ini amat mustahil bagi mana-mana umat Islam untuk mengembara berjalan kaki ke Mekah dan Madinah bagi memenuhi seruan mengerjakan umrah mahupun haji.

Pengembaraan yang melibatkan perjalanan menempuh sempadan berpuluh negara tentu sahaja tidak mungkin dapat ditemui lagi.

Kini terdapat banyak kemudahan untuk mengerjakan haji dan umrah. Malah penubuhan Tabung Haji merupakan antara usaha merealisasikan impian, hajat dan niat untuk menjadi tetamu Allah sebagai jemaah haji.

Selain itu, di Malaysia terdapat lebih 50 pengusaha daripada 2,800 agensi pelancongan berlesen yang menguruskan pakej-pakej umrah.

Mudah bukan, malah jemaah umrah boleh memilih mana-mana agensi yang mereka suka untuk keselesaan dan pelbagai kemudahan sepanjang mengerjakan umrah di Tanah Suci itu.

Begitupun Presiden Persatuan Agensi-agensi Pelancongan & Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd. Khalid Harun meminta umat Islam yang ingin mengerjakan umrah berhati-hati supaya tidak tertipu ketika memilih agensi dan pakej mengerjakan ibadah haji kecil itu.

Katanya, walaupun sehingga hari ini penipuan pakej umrah tidaklah tinggi namun mereka perlu berhati-hati.

"Pelbagai cara dilakukan oleh para sindiket untuk menipu yang menyebabkan mangsa kehilangan wang yang kadang kala dikumpulkan bertahun-tahun lamanya semata-mata hendak ke Mekah dan Madinah untuk mengerjakan umrah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa Pelancongan Muslim, Haji & Umrah (Incomthu) 2010 anjuran MATTA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lebih 50 wakil agensi pelancongan yang bernaung di bawah MATTA hadir pada persidangan sehari yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Datuk Abdul Ghaffar A. Tambi.

Mohd. Khalid berkata, tawaran pakej umrah yang murah adalah cara paling mudah bagi orang ramai mengesan kelayakan sesebuah agensi pelancongan menguruskan pakej umrah.

"Jangan termakan atau percaya iklan-iklan pakej umrah yang ditampal sana sini termasuk di pokok kerana saya percaya iklan terutama yang menawarkan pakej kurang daripada RM5,000 adalah bertujuan mengambil deposit secara haram.

"Lebih-lebih lagi jika agensi itu tidak berdaftar dengan kementerian. Jangan juga mudah percaya kepada pihak yang mengaku wakil kepada agensi yang menawarkan pakej umrah," tegasnya.

Kata beliau, memang ada agensi yang melantik wakil-wakil di seluruh negara bagi mendapatkan pelanggan-pelanggan baru.

"Tetapi wakil-wakil hanya berperanan memudahkan urusan sahaja. Mereka tidak boleh mengambil sebarang deposit kerana sebarang bayaran harus dibuat terus kepada agensi.

"Jika ada yang mengambil deposit pelanggan, kita percaya itu adalah penipuan kerana mereka tidak mempunyai tauliah berbuat demikian," katanya.

Justeru mangsa penipuan kini boleh melaporkan terus kepada pihak polis. Ini agar siasatan dan penahanan terhadap pihak yang menipu itu dapat dilakukan dengan segera.

Mohd. Khalid berkata, berbanding sebelum ini setiap aduan penipuan seperti ini hanya dilaporkan kepada pihak Kementerian yang mungkin mengambil masa lama untuk bertindak.

"Tidak puas hati, layanan tidak memuaskan, kemudahan yang disediakan tidak seperti yang diiklankan dan sebagainya maka aduan seperti ini wajar dibawa kepada pihak berkuasa kementerian," katanya.

Justeru kata Mohd. Khalid, bagi mengelakkan ditipu agensi yang palsu, para pelanggan perlu memastikan agensi tersebut berdaftar dengan banyak pihak.

"Tidak semua agensi pelancongan mempunyai tauliah menawarkan pakej umrah. Agensi yang bertauliah perlu meletak deposit RM100,000 untuk mendapatkan tauliah.

"Nama-nama agensi bertauliah itu boleh dirujuk pada senarai di MATTA, Kementerian Pelancongan dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

"Jika tidak tersenarai maka itu bermakna operasi agensi berkenaan boleh diragui," katanya.

Sementara itu, Duta kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Mohamad Reda Abu Al Hamayel memberi jaminan setiap permohonan visa umrah jemaah Malaysia akan diluluskan dalam tempoh 24 jam.

Cuma, permohonan itu perlu dibuat lebih awal.

"Walaupun ada kes-kes yang memohon di saat-saat akhir sehingga ada para jemaah telah pun berada di lapangan terbang menanti masa dan saat untuk berlepas ke Tanah Suci tetapi kita akan usahakan juga untuk meluluskan permohonan tersebut dengan segera.

"Namun saya meminta supaya kes-kes seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan kerana ia bakal mengundang banyak masalah di kemudian hari," katanya.

Menurut Mohamad Reda, masalah seperti soal mahram bagi jemaah wanita tidak patutn timbul kerana banyak kelonggaran diberi bagi membolehkan para jemaah berkenaan menunaikan umrah.

Sedia bersemuka

"Mungkin mereka boleh pergi dengan saudara mara, teman dan anggota pakej umrah yang pergi bersamanya.

"Tetapi jika agensi dan orang ramai masih berhadapan dengan pelbagai masalah berhubung soal visa ini, saya sedia bersemuka untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau juga berjanji, kecekapan dan kepantasan perkhidmatan untuk agensi dan jemaah di pihaknya akan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Penolong Pengurus Besar (Jualan), Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) Azman Ahmad berkata, pihaknya akan menyediakan pelbagai kemudahan bagi para penumpang sama ada untuk tujuan haji dan umrah agar menikmati mutu perkhidmatan terbaik.

"Ini termasuk dalam kelas-kelas penerbangan akan datang, kita akan menyediakan rakaman bacaan ayat-ayat suci al-Quran beserta terjemahannya untuk mengiringi sepanjang penerbangan ke Jeddah," katanya.

Walaupun MAS bukan syarikat entiti penerbangan Islam namun apabila majoriti penumpangnya umat Islam maka kemudahan mengikut standard Islam menjadi keutamaan.

"Ini terutamanya dalam aspek penyediaan makanan halal dan perkhidmatan yang terbaik kepada para penumpang jemaah haji dan umrah," katanya.

Begitupun semasa sesi soal jawab ada peserta bertanyakan sama ada MAS menyediakan minuman keras dalam penerbangan.

Lalu dijawab oleh Azman, tentu sahaja untuk penerbangan tempahan oleh LTH, minuman seperti itu tidak disediakan.

Setiap penerbangan untuk tujuan haji dan umrah sentiasa mendapat keutamaan MAS berikutan pasarannya yang meningkat setiap masa.

"Pada hari ini kita mempunyai 1.6 bilion penduduk Islam di seluruh dunia yang memberikan pulangan dari pasangan penerbangan sebanyak RM6.6 trilion.

"Dengan Malaysia mempunyai penduduk seramai 27 juta orang, 60.4 peratus adalah beragama Islam maka produk perkhidmatan melibatkan pelancongan, umrah, haji dan ziarah di kalangan umat Islam adalah tinggi," katanya.

Beliau juga memberitahu, sehingga kini MAS hanya mempunyai dua destinasi penerbangan ke Arab Saudi, iaitu Jeddah dan Dammam (timur laut Arab Saudi).

"Kita belum ada lagi destinasi penerbangan terus ke Madinah terutamanya untuk tujuan haji dan umrah tetapi untuk akan datang akan diusahakan," katanya.

Sebagai respons spontan, Mohamed Reda memberi jaminan bahawa MAS akan dibenarkan mendarat di Madinah tidak lama lagi.

Pelbagai topik lain turut menarik perhatian para peserta. Ini termasuk 'Polisi dan panduan untuk umrah dan haji' oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Dr. Suhaimi Mohd. Salleh.

'Panduan umrah dan ziarah' oleh pegawai Bahagian Perlesenan Kementerian Pelancongan Malaysia, Kudratullah Fatimy Afandi, 'Peranan media dalam mempromosi Pelancongan Islam' oleh Pengarah Media, Islamic Tourism Magazine London, Mohsin Tutla dan 'Promosi Kesenian Islam dan Budaya di Malaysia' oleh Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Zainudin Abdul Wahab.

Terdahulu, pada sidang medianya, Abdul Ghaffar berkata, kementerian merancang pelbagai program dengan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Katanya, ini termasuk membawa lebih ramai imam, bilal dan tokoh-tokoh agama dari Tanah Suci ke Malaysia bagi mengimarahkan masjid-masjid untuk solat tarawih.

"Di samping menggalakkan pelancong Arab untuk tinggal lebih lama di sini, kita akan cuba meminta dilanjutkan tempoh operasi pusat-pusat perniagaan dan menggalakkan diadakan lebih banyak seni kebudayaan Arab seperti Samrah di Jalan Bukit Bintang, yang sering menjadi tumpuan para pelancong Arab ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: