Tuesday, July 13, 2010

Insiden Tom Diserang : "Ada Pihak Hendak Malukan Saya Depan Wartawan"

Luka diwajah Tom akibat dibelasah sekumpulan lelaki

PETALING JAYA: Juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom,23, menganggap insiden diserang oleh ahli keluarga isteri bekas kekasihnya di hadapan pihak media, Ahad, adalah salah satu usaha untuk menjatuhkan maruahnya.

Tom yang dihubungi Mstar Online berkata, perbuatan itu adalah tidak adil kerana pada mulanya keluarga wanita berkenaan berjanji untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dengan cara yang baik.

“Saya terkejut begitu ramai pihak media datang sehingga insiden saya dipukul itu dirakamkan. Ia memalukan saya tetapi saya menganggap saya tetap tidak bersalah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang Ahad, Tom dipanggil oleh keluarga isteri kepada bekas kekasihnya untuk menyelesaikan sesuatu masalah melibatkan mereka. Perbincangan itu diadakan di Damansara Utama dekat sini.

Perbalahan itu dikatakan berpunca apabila keluarga wanita tersebut tidak berpuas hati selepas melihat komen Tom menerusi rancangan Melodi TV3, kononnya dia difitnah menjalinkan hubungan dengan suami orang.

Bagaimanapun dalam perbincangan yang diaturkan itu, ketika Tom hendak bercerita keadaan sebenar, dia telah diserang dengan cara dipukul dan ditendang oleh abang kepada isteri bekas teman.

Katanya, perbuatan ahli keluarga wanita berkenaan adalah tidak bermaruah kerana gagal menyelesaikan masalah dengan baik seperti yang diinginkan sebaliknya mahu perkara berkenaan diperbesarkan dengan adanya pihak media.

"Segala cerita yang mengatakan saya ada hubungan dengan suami wanita itu adalah satu fitnah walaupun lelaki berkenaan pernah menjadi kekasih saya sebelum dia berkahwin. Saya sedih belum sempat habis berbincang, salah seorang lelaki datang menendang saya.

“Kalau saya benar-benar buat salah, takkanlah isteri kepada bekas kekasih saya itu datang untuk menyelamatkan saya daripada terus dipukul oleh ahli keluarganya?” soal Tom.

Ini semua adalah fitnah nak jatuhkan saya. Mereka tidak puas hati dengan fitnah tersebut lantas memanggil wartawan agar menyaksikan perbincangan itu. Tapi belum pun sempat untuk berbincang perkara tidak diduga telah terjadi.

Kata Tom lagi, akibat insiden itu dia menjadi trauma dan tidak mungkin akan berbincang dengan keluarga berkenaan pada masa akan datang. "Saya cuba buat baik, tetapi ini yang dibalas mereka. Saya tidak ada kana mengena dengan masalah yang berlaku dalam keluarga tersebut tapi sayangnya saya pula yang menjadi seperti kambing hitam.

“Saya serahkan kepada masyarakat untuk menilai dan saya yakin kebenaran akan muncul satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamaed ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Walau bagaimanapun sehingga hari ini tiada sebarang tangkapan dibuat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: