Thursday, July 29, 2010

Pelajar vokasional mesti ikuti latihan

ARAU 22 Julai - Pelajar aliran vokasional akan diwajibkan mengikuti program latihan bekerja atau praktikal di syarikat-syarikat atau industri sebagai salah satu subjek wajib apabila penstrukturan semula sekolah vokasional dilaksanakan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, latihan itu akan dilaksanakan sepanjang sesi persekolahan sebagai sebahagian usaha mengukuhkan sistem pendidikan vokasional.

"Kementerian sedang berusaha mendapatkan pihak industri bagi menjalinkan kerjasama tersebut kerana kita tidak mahu pelajar aliran ini hanya tertumpu dalam bilik darjah," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Vokasional Arau di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sains dan Teknologi, Pembangunan Usahawan dan Hubungan Antarabangsa negeri, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail dan Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat.

Mohd. Puad menegaskan, sistem pendidikan vokasional akan dinaik taraf menjadi salah satu daripada aliran pendidikan perdana sejajar usaha kerajaan melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, kementerian akan memastikan sistem pendidikan di aliran itu memperuntukkan 70 peratus bidang vokasional dan 30 peratus bidang akademik berbanding kini 45 peratus bidang vokasional.

"Melalui penstrukturan itu, kita mahu menjadikan aliran vokasional sebagai pilihan utama kepada para pelajar, bukan lagi meletakkannya sebagai pilihan kedua," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: