Saturday, July 31, 2010

Aur dan Dayang tarikan baru Johor


PERAIRAN di sekitar Pulau Aur dan Dayang yang berpotensi untuk dimajukan sebagai satu lagi destinasi selam skuba di negara ini.


DENGAN kapasiti penginapan yang kecil dan kedudukan yang jauh di tengah laut, Pulau Aur dan Dayang di perairan Johor boleh dikatakan asing di kalangan rakyat negara ini.

Pada masa kini, kedua-dua pulau itu lebih popular di Singapura berbanding di tempat sendiri. Pada setiap hujung minggu, lebih 80 peratus penginapan akan dipenuhi pelancong-pelancong Singapura yang kebanyakan datang untuk menyelam.

Tarikan utama selam skuba di Aur dan Dayang terletak pada keindahan hidupan marinnya yang masih meriah dan terpelihara.

Cuma sayang, pada kunjungan bulan Jun lalu sebahagian daripada batu karang terjejas teruk akibat kejadian pemutihan karang. Malah fenomena akibat pemanasan suhu air laut yang melanda seluruh negara itu turut menjejaskan populasi ikan.

Tidak diketahui ke mana ikan-ikan yang biasanya mengelilingi terumbu karang melarikan diri. Sebahagian daripadanya hilang, meninggalkan perairan berhampiran Pulau Pemanggil yang terkenal sebagai syurga pemancing itu sunyi dan sepi.

Namun tarikan yang berjaya menarik penyelam-penyelam dari Singapura terjawab sebaik sahaja turun ke dasarnya.

Walaupun pemandangan di dasar agak kurang seri, tetapi keindahan yang sebenarnya masih ada di situ.

Lokasi-lokasi selamnya dipenuhi landskap berbatu yang membentuk pelbagai formasi unik. Jika tidak kerana pemutihan karang , kawasan itu semestinya cukup indah.

Itulah keunikan Pulau Aur dan Dayang, dua daripada 76 buah pulau di Johor (seperti yang diumumkan oleh Jabatan Taman Laut, baru-baru ini). Dua pulau yang terletak bersebelahan itu mempunyai potensi yang cukup baik untuk dipopularkan jika beberapa perkara perlu diperbetulkan.

Benar seperti kata Mohd. Hussain Mohd. Rashid, 39, dari Persatuan Skuba Johor bahawa kaedah pengangkutan adalah penghalang utama kerajaan untuk mempopularkan destinasi itu.

“Pada masa kini pengangkutan ke pulau berkenaan agak sukar kerana ketiadaan khidmat feri setiap hari.

“Pilihan yang ada hanya bot tambang dari jeti Mersing (Blue Water) yang memakan masa tiga hingga empat jam dengan kos perlu dikongsi oleh 10 orang (minimum) pada harga RM750,” jelasnya.

Namun beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam selam skuba mengakui, tarikan Aur dan Dayang cukup berbeza dengan lokasi di Tioman.

“Selain lokasi berbatu yang membentuk laluan seperti gua terdapat juga dua kapal karam iaitu Dayang Wreck sedalam 20.9 meter dan satu lagi di depan Jeti Pulau Aur (30.9 meter).

Perkara yang sama juga diakui oleh Ahmat Najah Rahmat, 40, selaku Pengarah Urusan Scubatex Resources Sdn. Bhd. Beliau iaitu kelebihan kedua-dua pulau itu adalah kualiti air yang lebih bersih kerana kedudukannya yang jauh dari daratan.

“Hidupan laut lebih meriah di sini kerana kesan pencemaran air tidak seteruk yang berlaku di pulau-pulau lain yang lebih dekat dengan daratan dan kerap dikunjungi,” ujarnya ketika ditemui semasa Selaman Eksplorasi Johor (JD-X), Jun lalu.

Pengarah Tourism Johor, Noridah Kamarudin berkata, program pengemaskinian produk pelancongan Johor itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempromosikan pelancongan marin.

Noridah berkata, JD-X itu merupakan sebahagian daripada usaha Tourism Malaysia untuk memperkenalkan pulau-pulau di Johor khususnya Aur dan Dayang sebagai destinasi selam skuba.

“Program selam beserta forum itu melibatkan pelbagai pihak yang terbabit dalam industri pelancongan seperti pengendali bot, resort, ejen pelancongan, penyelam skuba dan juga para media.

“Lawatan kali ini diharap dapat membuahkan hasil sama ada berbentuk cadangan ataupun kritikan,” ujarnya.

JD-X dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri Johor, Majlis Daerah Mersing, Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Johor, Wilayah Maritim Selatan, Scubatex Resources, Borneo Diver‘s & Seasports Sdn. Bhd dan Gemilang Zamrud Sdn Bhd.

Antara topik menarik yang dibangkitkan pada forum itu termasuk usaha pemuliharaan alam marin seperti yang dibentangkan oleh Clement Lee, Pengarah Urusan Borneo Diver‘s & Seasports Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: