Friday, July 30, 2010

Liong Sik didakwa tipu kerajaan


LIONG SIK (tengah) ketika merasmikan Sistem Pembersihan Laut Pelabuhan Barat di Pulau Indah pada 10 September 2000.


PUTRAJAYA - Bekas Menteri Pengangkutan dan mantan Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menipu Kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Liong Sik, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2003 didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 3 September ini untuk sebutan kes.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan, Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup manakala Liong Sik diwakili peguam Datuk R.R. Sethu.

Para wartawan dan jurugambar yang menanti sejak pagi selepas tersebarnya berita seorang kenamaan akan didakwa hanya mengetahui identiti tertuduh apabila Liong Sik tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang bersama isterinya, Toh Puan Ena Ling.

Beliau yang berbaju biru belang masuk ke dalam mahkamah pada pukul 4.43 petang dan terus duduk di kandang tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Liong Sik didakwa telah menipu Kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Beliau dituduh memperdaya Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn. Bhd. dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

Luas tanah ialah 999.5 ekar (399.8 hektar) atau 43,538,200 kaki persegi (3,918,438 meter persegi).

Kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

Tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah bayaran tertangguh selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600) dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian, beliau telah dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Liong Sik merupakan individu kelima berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O.C. Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: