KUALA LUMPUR: Biarpun masih di bangku sekolah, ramai remaja perempuan kini dikesan mengelar lengan hingga berdarah untuk menulis nama kekasih masing-masing, kononnya atas nama cinta.
TOREH...trend remaja perempuan mengukir nama kekasih pada lengan.
Perbuatan itu yang menjadi ‘trend’ terkini di kalangan remaja perempuan didedahkan pakar motivasi dan kaunseling remaja, Ahmadi Din berdasarkan pengalamannya mengendalikan beberapa kes gadis bermasalah.
Ahmadi berkata, baru-baru ini sepasang suami isteri meminta khidmatnya untuk mengatasi masalah anak gadis mereka yang sukar dikawal selepas terjebak aktiviti tidak bermoral dan dia mendapati tangan remaja itu ada kesan torehan nama teman lelakinya.
“Ibu bapa gadis berusia 16 tahun mengadu anak mereka terjebak pelbagai kegiatan tidak bermoral termasuk menghidu gam, merokok, ponteng sekolah dan suka berfoya-foya di disko.
“Selepas mendekati gadis itu saya mendapati lengan tangan kirinya yang mempunyai tanda parut tertulis perkataan yang bermula dengan huruf A. Apabila saya tanya, dia memberitahu tulisan itu nama teman lelakinya,” katanya.Menurutnya, gadis terbabit mengaku sengaja melukakan tangannya menggunakan jarum sehingga berdarah bagi mengukir nama kekasihnya yang berusia setahun lebih muda daripadanya.
“Dia memberitahu perbuatan itu dilakukannya kerana terpengaruh perbuatan sama oleh rakan sebaya yang mengukir nama kekasih masing-masing pada lengan atau pergelangan tangan.“Tanpa berselindung, dia mendakwa perbuatan menoreh lengan itu dilakukan bagi membuktikan kesetiaan dan rasa cintanya yang mendalam terhadap kekasihnya yang belajar di sekolah sama,” katanya.
Ahmadi berkata, remaja terbabit tanpa rasa bersalah mendakwa terlalu sayangkan teman lelaki menyebabkan dia hilang pertimbangan dan berani melakukannya.
“Perbuatan itu juga tidak ubah seperti pertandingan bagi membuktikan siapa paling hebat dan berani di kalangan gadis sebaya. Mereka langsung tidak ragu-ragu melakukannya hanya untuk bermegah. Siapa yang mempunyai parut nama paling panjang dianggap paling berani.
“Berdasarkan maklumat dikumpulkan, perbuatan gila mencederakan diri sendiri itu menjadi ‘trend’ baru yang tersebar meluas di kalangan remaja sekolah rendah dan menengah. Jadi, ibu bapa perlu lebih peka dan menyiasat aktiviti anak masing-masing,” katanya.
Ahmadi berkata, kegilaan terbaru itu mungkin diakibatkan kaedah lama menoreh nama pada batang pokok atau kerusi batu di taman rekreasi sebagai bukti cinta dianggap ketinggalan zaman.
“Lebih menyedihkan perbuatan menoreh nama teman lelaki pada lengan hingga berdarah ini sebahagian besarnya dilakukan gadis Melayu yang masih mentah untuk mengenal erti cinta,” katanya.
Menurutnya, perbuatan mencederakan tangan untuk menghasilkan parut tertera tulisan nama seseorang sama seperti membuat tatu dan Islam melarang keras amalan ini.
“Dalam Islam, apa saja perbuatan memudarat dan membahayakan diri adalah haram. Malah, terdapat hadis Rasulullah yang maksudnya Allah melaknat perempuan membuat tatu, perempuan yang meminta dirinya ditatu, perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan yang mengikir giginya,” katanya.
Selain itu, kata Ahmadi, daripada sudut kesihatan perbuatan menoreh kulit menyerupai tatu itu boleh menyebabkan gejala bengkak dan gatal pada bahagian ditoreh yang mengundang jangkitan penyakit Hepatitis B atau C jika jarum digunakan tercemar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: