SUASANA di sekitar Kampung Kemensah, Hulu Klang dekat Kuala Lumpur pada pagi itu dingin dan lembap. Hujan lebat pada sebelah awal pagi menyebabkan kebanyakan laluan basah dan berlumpur.
Seperti biasa lokasi sekitarnya agak sibuk dengan kenderaan milik penduduk kampung selain pengunjung luar yang datang untuk memancing dan berkelah di kawasan itu.
Bagaimanapun, destinasi yang ingin dituju penulis ialah ATV Adventure Park, satu-satunya kawasan permainan sukan lasak All-Terrain Vehicle (ATV) di Lembah Klang.
Biarpun terletak jauh ke dalam, pemanduan hampit 15 minit tidak begitu dirasakan. Beberapa papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan sedikit sebanyak membantu biarpun bagi yang baru pertama kali ke sana.
Sebaik tiba, penulis dan jurugambar disambut mesra oleh seorang lelaki tinggi lampai dan bertubuh sasa yang juga pemiliknya, Mas Faizil Khan.
Kelihatan beberapa peserta lain yang tiba lebih awal sudah berada di atas ATV masing-masing lengkap dengan topi keselamatan.
"Kita hendak bermula kira-kira 10 minit lagi. Sebelum itu awak kena belajar aspek teknikal dan berlatih menunggang kenderaan ini untuk membiasakan diri," kata lelaki berusia 43 tahun itu kepada penulis.
Penulis mengakui, walaupun sudah biasa menggunakan pelbagai jenis motosikal dan kereta sebelum ini, tetapi menjinakkan ATV tidaklah semudah yang disangkakan. Beberapa kali kenderaan yang dipandu nyaris terbabas dan mati dengan sendirinya sehingga menyebabkan penulis gelisah dan gementar.
Apa yang pasti, ia tidak sekadar memerlukan penulis belajar bagaimana memulas tuil minyak, brek dan gear, tetapi juga menuntut kekuatan mental dan fizikal dalam mengharungi persekitaran yang lasak dan ekstrem.
Apatah lagi pakej yang bakal dilalui nanti merupakan pakej E yang melibatkan trek lasak dan mencabar berbanding pakej-pakej biasa. Lokasi perjalanan dianggarkan mengambi masa lima hingga enam jam meliputi kawasan seluas 20 hingga 25 kilometer persegi di sekitar Hutan Simpan Kemensah meliputi Bukit Tabur, Bukit Lalang dan Dataran Emas.
"Awak semua kena berhati-hati, berdisiplin dan sentiasa ikut arahan yang diberikan jurupandu. Bekas laluan balak yang bakal dilalui nanti agak mencabar dan berbahaya, saya tidak mahu ada di antara peserta yang terlibat dalam kecelakaan," nasihatnya.
Tepat pukul 10 pagi, penulis bersama lima peserta lain memulakan tunggangan. Diketuai oleh seorang jurupandu, Mohd. Saifulazam Aziz, cabaran pertama kami adalah menaiki cerun setinggi 200 meter menuju ke kawasan hutan simpan.
Kedudukannya yang condong 70 darjah memberikan cabaran kepada peserta untuk mengawal ATV masing-masing sebelum sampai ke puncak.
"Ini baru sikit, di atas nanti lagi banyak cerun dan bukit yang kita perlu lalui sepanjang perjalanan ini," kata Saifulazam yang sudah setahun bekerja di syarikat itu.
Ternyata lelaki berusia 23 tahun itu tidak bergurau. Cerun berliku-liku serta gaung yang dalam, beberapa inci saja dari laluan cukup membuatkan setiap peserta kecut perut.
Bagaimanapun, perasaan itu hilang sebaik sahaja melihat panorama flora dan fauna yang mendamaikan di sekelilingnya. Bunyi unggas dan cengkerik yang bersahutan seakan-akan menyambut kehadiran kami.
Sesekali, Saifulazam akan berhenti untuk menebas pokok-pokok buluh yang tumbang dan menghalang laluan kami. Bagaimanapun, halangan semula jadi seperti rentangan akar-akar kayu dan laluan berbatu tidak dapat dielakkan. Di sinilah wujud semangat kerjasama di antara peserta untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Hujan lebat yang turun secara tiba-tiba melambatkan perjalanan. Laluan becak dan berlumpur menjadi halangan kepada peserta terutama sewaktu menuruni cerun.
Tersangkut dalam selut
Adakalanya tayar ATV masih menggelongsor ke bawah walaupun kedua-dua brek belakang dan hadapan sudah ditarik. Di sini terletaknya kemahiran peserta dalam memastikan kenderaan yang dinaiki tidak terbabas atau berlanggar sesama sendiri.
Penulis turut merasai pengalaman apabila tayar kenderaan tersangkut di dalam selut separas lutut ketika kebanyakan peserta sudah berada jauh di hadapan.
Walaupun sudah puas mencuba pelbagai cara, namun ia gagal dikeluarkan sehingga Saifulazam muncul. Kenderaan penulis ditarik dengan menggunakan tali seperti yang sering dilakukan oleh kenderaan pacuan empat roda (4X4).
Selepas dua jam perjalanan, akhirnya kami tiba di kawasan Empangan Ulu Klang di Bukit Tabur. Sambil melepaskan lelah, kami sempat membasuh muka dan menghilangkan dahaga.
Saifulazam memberitahu, kawasan itu merupakan perkampungan dikenali sebagai Kampung Rengit.
"Masa saya kecil-kecil dulu, kawasan ini masih berpenghuni, ada masjid dan sebagainya. Selepas kerajaan ambil dan jadikan sebuah empangan semua penduduk kampung berpindah, kini ia jadi tempat tumpuan kaki-kaki pancing," kata anak jati Kampung Kemensah itu.
Perjalanan kami diteruskan menuju ke Dataran Emas dan Bukit Lalang. Laluan landai serta dikelilingi kebun-kebun getah memudahkan pemanduan. Dari puncaknya, kelihatan bandar raya Kuala Lumpur yang berdiri megah.
Seterusnya kami dibawa ke Air Terjun Kamisah yang terkenal di situ. Kesukaran mengakses lokasi ini kecuali dengan menunggang ATV atau berjalan kaki membuatkan persekitarannya kekal terpelihara sehingga kini.
Pohon-pohon buluh redup memberi suasana damai di sekelilingnya menyebabkan ada di antara peserta tidak sabar untuk berendam dan membersihkan diri. Air bukit yang mengalir jernih membuatkan badan yang sudah lesu selepas melalui perjalanan jauh kembali bertenaga sebelum meneruskan perjalanan pulang.
Pengembaraan luar biasa
Seorang peserta, Zainal Abidin meluahkan berasa bangga dapat menyertai aktiviti itu apatah lagi dalam usia yang mencecah hampir separuh abad.
Lelaki berusia 46 tahun itu memberitahu, aktiviti yang dilakukan mampu meningkatkan keyakinan diri peserta berhadapan cabaran di samping memupuk semangat setiakawan dan kerjasama di antara satu sama lain.
"Ia bukan sekadar pengembaraan biasa, sebaliknya merupakan satu riadah sihat yang sesuai dilakukan oleh semua orang daripada pelbagai peringkat usia.
"Pelbagai halangan yang ditempuhi sepanjang perjalanan membolehkan peserta lebih kreatif. Misalnya, bagaimana untuk melepasi halangan batu besar atau nak memastikan tidak terbabas semasa menuruni cerun berlumpur," katanya yang menetap di Cheras.
Rakannya, Muhammad Faizil Desouza, 29, pula menjelaskan pengalaman menunggang ATV lebih menarik berbanding aktiviti menunggang basikal gunung dan go-kart yang sering dilakukannya sebelum ini.
Ujar pekerja syarikat audit itu, sepanjang pengembaraan dia berasa kagum apabila melihat pelbagai keunikan flora dan fauna yang masih kekal di hutan simpan berkenaan.
"Saya memang suka melihat keindahan alam semula jadi, sebelum ini pun jika mahu beriadah dan menenangkan fikiran saya sering berbasikal di sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: