MUHAMMAD Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, dan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, dua jejaka muda ini tampak tenang dan cukup berkeyakinan. Kredibiliti mereka terserlah, walau masih terlihat ada sedikit getar di dada menghitung detik kemuncak pertandingan realiti televisyen berunsur keagamaan terbitan Astro Oasis, Imam Muda.
Malam ini, pukul 9 malam, bermulalah pelayaran terakhir mereka. Salah seorang akan dinobatkan sebagai juara sulung program keagamaan yang telah menarik minat dunia ini. Imam Muda akan menjadi platform buat mereka mencapai visi menjadi imam. Lebih bertuah lagi akan mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, serta sebuah kereta.
Namun akui dua jejaka yang sudah berumah tangga ini, bukan habuan yang mereka kejar. Pertama kali menyertai program seumpamanya ini di kaca televisyen dan terus menjadi fenomena, keinginan asal mereka bukan itu. Masing-masing punya misi sendiri untuk dicapai.
Dalam pertemuan santai kami beberapa hari menjelang malam final, Hiz yang kelihatan sedikit serius berbanding Asyraf yang nampak lebih bersahaja menjelaskan tujuan mereka serta transisi yang telah berlaku sejak tiga bulan menimba ilmu di dalam program tersebut.
"Masa awal sertai pertandingan ini, memang ada rasa aura pertandingan dan tentang kalah atau menang. Tapi lama-kelamaan terutama apabila sudah tinggal berdua, saya sudah tidak rasakan perasaan itu. Sebaliknya saya melihat kedudukan sekarang adalah jalan terbaik buat saya sampaikan sesuatu kepada masyarakat kelak. Ia bukan lagi bersifat untuk kepentingan peribadi," kata Asyraf tanpa teragak-agak.
Hiz yang mengangguk bersetuju dengan pendapat Asyraf kemudian menambah, untuk dirinya sendiri, dia tidak mempunyai sasaran untuk menang. Sebaliknya, sejak awal tertarik menyertai program ini dulu adalah mahu menebus mimpinya untuk menjadi imam. Dia melihat Imam Muda mampu menjadi platform terbaik untuk merealisasikan mimpi tersebut.
Katanya: "Gambaran awal saya tentang program ini adalah ia platform terbaik buat saya mencapai misi menjadi imam. Kalau tidak dapat duduk di masjid besar, duduk di surau pun jadilah.
"Namun rupanya, apabila program mula berjalan, gambaran saya itu jauh tersasar. Pengalaman dan ilmu yang saya kutip di sini lebih daripada gambaran saya. Ia cukup besar dan luas. Saya bersyukur kerana mampu bertahan untuk terus mencari ilmu daripada semua yang terbabit dalam program ini."
Enggan memikirkan soal ganjaran, Asyraf dan Hiz sepakat agar pembelajaran serta paparan yang diberi setiap minggu mampu menjadi teladan serta ilmu yang boleh dikongsi bersama.
Untuk tugasan terakhir malam ini, mereka sudah memperkemaskan diri sebaik mungkin. Selain sudah melalui pengalaman mengendalikan ceramah dan aktiviti kemasyarakatan di kampung masing-masing, kedua-dua peserta ini tidak sabar untuk menjalani tugasan pentas yang merangkumi aspek komunikasi serta bacaan al-Quran.
Bukan malaikat
Masing-masing datang dari latar belakang berbeza. Asyraf dan Hiz tersenyum lebar saat ditanya tentang paksi agama yang menyelusup dalam relung hati mereka. Sejak bila ia terjadi.
Hiz dalam keadaan sedikit malu berkongsi cerita. "Saya membesar seperti kanak-kanak lain. Mendapat pendidikan awal di sekolah rendah sebelum keluarga menghantar saya ke sebuah sekolah pondok kerana saya agak nakal.
"Beberapa bulan duduk di sekolah pondok, nakal saya masih belum reda. Namun akhirnya ia berubah perlahan-lahan dan apabila saya mula rajin mengaji al-Quran, sejak itu saya tahu paksi saya betul," kata penuntut Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir ini sambil tersenyum.
Sementara bagi Asyraf yang mengaku dirinya agak nakal dan kuat merapu, menerima pendidikan asas daripada keluarga dan itu menjadi pegangan hidupnya.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Usuluddin & Fiqh dari Universiti Malaya itu berkata: "Saya akui saya bukan orang yang baik sangat. Saya kuat merapu sehingga saya dewasa. Namun paksi itu berubah beberapa bulan sebelum berkahwin pada Februari lalu dan ia semakin dalam selepas saya berkahwin."
Malah mereka mengingatkan bahawa mereka juga manusia biasa, bukannya malaikat. Mereka juga mempunyai keseimbangan dalam hidup iaitu masih suka dengan hiburan namun dalam masa yang sama masih kukuh pada landasan Islam.
"Saya tahu ramai yang beranggapan bahawa banyak orang agama agak kurang senang dengan hiburan. Dulu sewaktu belajar di sekolah pondok, saya turut mempunyai pemikiran yang sama. Kononnya saya tak patut dengar radio atau menonton televisyen.
"Namun sebenarnya kalau mengikut Islam sendiri, semua itu bukan satu larangan. Kita dibenarkan untuk menikmati hiburan asal tidak terpesong. Dan ya, kami juga begitu," kata Hiz.
Tambah lelaki yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga ini, persepsi seperti inilah yang mahu dipecahkan olehnya menerusi program ini. Dia mahu masyarakat tahu bahawa walaupun seseorang itu menjadi imam, dia juga manusia biasa yang mempunyai nafsu dan memerlukan sedikit hiburan mengikut lunas Islam.
Perlu popular
Disogok pertanyaan kepentingan sebuah program keagamaan dan ilmuwan agama itu memperoleh publisiti meluas, pantas Asyraf menjawab - perlu. Katanya program yang menyebarkan dakwah Islam seperti ini yang harus dibangga dan dihebahkan ke seluruh dunia. Dan publisiti yang meluas itu tidak salah agar segala kebaikan tersebar dengan cepat.
"Publisiti amat penting dan perlu untuk program seumpama ini. Tentang ilmuwan agama pula, seseorang pendakwah itu perlu terkenal untuk menarik banyak orang mendengar ceramah mereka. Jika kurang dikenali, orang pun tak mahu pergi ke masjid atau lokasi ceramah untuk mendengar ceramah," katanya.
Hiz pula menyimpulkan: "Kami perlukan platform dan publisiti ini untuk menonjolkan segala kebaikan dan sifat yang dibawa Nabi Muhammad SAW Hanya melalui hebahan, ia akan terlaksana. Semoga apa yang cuba diusahakan ini tercapai."
Berbicara tentang keseimbangan antara popular dan fokus terhadap agama, Hiz memberitahu inilah masa terbaik untuk dia menggunakan dua status tersebut mempengaruhi remaja ke arah kebaikan.
|
|
Mengaku dia juga masih perlu banyak belajar, namun jika platform ini adalah jalan terbaik mempengaruhi masyarakat, dia tidak akan mensia-siakannya.
"Memang terkejut apabila diri mula dikenali dan saya melihat ada tanggungjawab yang besar telah masyarakat letakkan pada kami sebagai ikon yang baik.
"Senang untuk saya katakan, kami juga manusia biasa, bukan malaikat dan akan berusaha untuk memberi pengaruh yang terbaik kepada masyarakat," katanya yang senang menggunakan pendekatan 'memandu' berbanding menghukum.
Pernyataan Hiz ditambah Asyraf: "Sebab itu kita gunakan status Imam Muda. Bukan imam hebat atau sebagainya. Oleh sebab itu, kami semua muda dan masih banyak perlu belajar. Kami belajar bersama-sama, ini yang harus dilihat oleh semua orang. Selagi kami diberi kepercayaan, selagi itu kami akan sama-sama membantu ke arah kebaikan. Insya-Allah.
"Dan kami tidak mahu disamakan dengan superstar hiburan. Atau dikatakan superstar Imam Muda. Sebaliknya lebih molek kalau dikatakan kami sebagai penyambung dakwah superstar sebenar kita yang semakin dilupakan iaitu Nabi Muhammad SAW."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: