Saturday, July 31, 2010

Myfranchise tingkatkan usahawan


Fauzi Awang dan Intan Hyriatee Mohd. Zawai menunjukkan sebahagian produk Forest'Secret.


KEBIASAANNYA, perniagaan berasaskan francais memerlukan modal besar dan ruang bagi memulakannya.

Lebih sukar apabila, pengasas perniagaan francais itu tidak membantu seseorang yang berminat menyertainya untuk mengumpul modal permulaan.

Namun, keadaan itu berbeza sama sekali melalui pendekatan dan bantuan yang disediakan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) kerana seseorang berpeluang membuka perniagaan hanya di rumah dengan modal serendah RM500.

Pada 2004, selepas lebih 30 tahun bergiat aktif dalam dunia perniagaan, PNS menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan saiz Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC).

Akhirnya ia menubuhkan Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. (Myfranchise), sebuah syarikat bagi menjalan dan menguruskan perniagaan francais untuk produk tempatan.

Misi Myfranchise untuk menggalakkan penglibatan bumiputera dalam perniagaan, meningkatkan taraf ekonomi kaum Melayu melalui perniagaan dan menambahkan produk berkualiti tempatan di pasaran antarabangsa.

Sejak itu, Myfranchise berusaha merencana pelbagai strategi bagi memastikan peserta francais di bawahnya dibantu secara menyeluruh termasuk daripada segi penyediaan sumber, meningkatkan aspek profesionalisme, kepintaran, etika dan disiplin dalam menguruskan perniagaan.

Pada masa sama, Myfranchise membantu seseorang mewujudkan perniagaan francais yang diperkenalkan dan bertindak sebagai bantuan pelaburan kepada peserta yang layak untuk menguruskan kewangan serta pinjaman mereka.

Hasilnya, Myfranchise yang sebelum ini memiliki dua rangkaian syarikat francais di bawah kelolaannya iaitu restoran makanan segera, Marry Brown dan Gloria Jeans, giat mempromosikan syarikat terbaru ditubuhkannya iaitu Forest'Secret.

Diasaskan pada 2007, Forest'Secret adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan produk penjagaan badan dan kulit, aromaterapi dan spa, kosmetik dan warna serta makanan dan minuman kesihatan yang berasaskan herba.

Ketua Pegawai Eksekutif Myfranchise, Fauzi Awang berkata, sehingga kini, Forest'Secret mempunyai 38 pengedar utama di seluruh Semenanjung .

"Manakala kami mempunyai 22 orang usahawan yang menyertai perniagaan ini di bawah program Francais Mikro iaitu menjalankannya di rumah.

"Program Francais Mikro adalah program pertama yang memberi peluang kepada orang ramai menjalankan perniagaan melalui rumah.

"Dengan cara ini, ia membolehkan seseorang memulakan perniagaan dengan modal serendah RM500 dan mudah," katanya.

Fauzi berkata, peserta hanya perlu menyediakan modal RM500 dan membeli produk jualan permulaan sebelum menjualnya bagi mendapatkan pulangan.

"Setiap barangan yang dijual membolehkan peserta mendapat keuntungan sehingga 25 peratus," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: