Friday, July 30, 2010

Keluarga restu kahwin Orlando, Miranda


PASANGAN pengantin baru, Orlando dan Mirinda kini sedang menikmati fasa bulan madu.


HANYA selepas sebulan mengumumkan berita pertunangan mereka, Orlando Bloom, 33, dan Miranda Kerr, 27, tidak mengambil masa yang lama untuk berkahwin. Kini sedang enak menikmati bulan madu mereka selepas berkahwin minggu lalu, nampaknya keputusan drastik mereka itu mendapat restu daripada kedua-dua keluarga.

Keluarga model, Miranda malah mengaku bahawa Orlando adalah seorang lelaki yang begitu tradisional, beradab serta bertanggungjawab.

"Orlando adalah seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab. Dia mengikut adat dan tradisi apabila meminta izin daripada kami sendiri untuk menyunting Miranda. Mereka melakukannya dengan penuh tradisional, jadi kami melepaskan mereka tanpa keraguan.

"Saya percaya Orlando juga adalah lelaki yang baik. Mereka adalah pasangan yang begitu serasi. Apa yang kami mahu dan doa buat mereka adalah agar mereka hidup bahagia dan sihat. Malah saya tidak pernah melihat Miranda begitu bahagia dan sihat seperti mana dia sekarang," ujar ibu Miranda, Therese Kerr kepada majalah People.

Tambah Therese, mereka sekeluarga juga begitu teruja menerima bintang Lord of the Rings dan Pirates of the Caribbean itu sebagai menantu serta ahli keluarga baru.

Orlando dan Miranda dilaporkan mula berkenalan pada tahun 2007. Pasangan itu kemudian muncul pertama kali di khalayak ramai pada April 2008.

"Hubungan kami pada awalnya tidak lebih daripada hubungan sahabat. Namun ia kemudian bertukar menjadi cinta sedikit demi sedikit," kata Miranda dalam satu temu bual bersama majalah Hello! pada September 2008.

Dalam temu bual tersebut, Miranda turut memberitahu, Orlando telah mendapatkan nombor telefon bimbitnya melalui agensi kerana dia enggan memberi nombor telefon kepada aktor kelahiran Britain itu kerana dia sedang menjalin hubungan dengan seseorang pada waktu itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: