Thursday, July 29, 2010

Beg tangan pelengkap gaya


Beg tote untuk ke pejabat.


PENAMPILAN seseorang wanita tidak akan lengkap tanpa beg tangan dan kasut yang cantik, menarik dan nampak eksklusif. Malah dalam ‘bahasa’ fesyen, baju yang cantik sahaja belum cukup untuk nampak anggun tanpa ada dua aksesori wajib itu.

Boleh dikatakan beg tangan dan kasut menjadi pelengkap kepada gaya dan penampilan seseorang wanita itu.

Justeru bukan sesuatu yang menghairankan apabila seseorang wanita memiliki lebih daripada sepasang kasut atau sebuah beg tangan.

Dalam koleksi mereka pasti terdapat beberapa pasang kasut dan beg tangan yang berbeza warna, reka bentuk, saiz, bahan buatan, jenama dan sebagainya.

Terdapat kasut yang bertumit baji, bertumit tinggi runcing, bertumit lebar, leper, bertali di belakang, bertali di depan, terbuka sedikit di depan, berhias batu permata atau kristal, dibuat daripada polyvinyl chloride (pvc), kulit dan sebagainya.

Begitu juga dengan beg tangan. Ada yang besar, kecil, leper, berbentuk empat segi, bujur, yang sesuai untuk ke pejabat, ke majlis makan malam atau ke majlis perkahwinan.

Itu belum lagi dengan pelbagai koleksi warna beg tangan bagi disesuaikan dengan baju yang dipakai dan ke mana hendak digayakan.

Sebab itu, walaupun telah memiliki beberapa buah beg tangan wanita tetap akan membeli beg tangan baru setiap kali ada jualan murah di gedung beli-belah, apabila ke luar negara atau apabila ditunjukkan katalog beg tangan.

Apa lagi dengan kedatangan Syawal yang akan tiba tidak lama lagi. Pasti ramai yang telah pun membeli beg tangan dan kasut baru bagi disesuaikan dengan pakaian baru untuk dipakai di hari raya.

Bagaimanapun bagi mereka yang belum lagi terasa bahang hari raya dan masih belum mencari keperluan raya seperti beg tangan dan kasut mungkin boleh membelek-belek katalog terbaru koleksi 2010 Alfio Raldo.

Jenama beg tangan, kasut dan aksesori yang sudah tidak asing lagi dan mempunyai peminatnya sendiri ini, mempunyai banyak pilihan untuk wanita yang ingin bergaya hebat.

Menurut Pengurus Pemasarannya, Leny Marlina, rekaan beg tangan yang ada setanding dengan rekaan daripada jenama terkenal.

Katanya, terdapat pelbagai pilihan beg tangan yang dibuat daripada kulit asli, pvc dan pvc bercampur kulit.

Corak-corak atas beg juga dipelbagaikan dengan corak seperti kulit ular, geometri, wajik, Alfiogram itu sendiri dan berbunga.

Warna-warna beg tangan yang menarik seperti merah hati, warna asas hitam, krim, kuning air, merah jambu, kelabu dan putih mudah dipadankan dengan koleksi baju anda.

“Direka untuk sebarang acara dan majlis, koleksi beg tangan terbaru ini boleh digayakan sama ada ke pejabat, untuk acara kasual, formal mahupun santai.

“Perincian menarik seperti butang besi, buckel, tali beg tangan dan pemegang beg sama ada pendek dan panjang mengikut gaya dipakai memberi kelebihan kepada setiap koleksi beg tangan kami,” katanya.

Sementara itu kata Lenny, setiap rekaan beg tangannya boleh disesuaikan dengan rekaan kasut yang dibuat mengikut warna-warna beg tangan.

Ini bagi memudahkan pelanggan kerana apabila mereka membeli beg tangan, tidak perlu mencari kasut yang sepadan di tempat lain kerana kedua-dua beg tangan dan kasut boleh dibeli serentak.

Melihat rekaan kasutnya sudah pasti ramai yang tertarik kerana Alfio Raldo sentiasa mengikuti perkembangan semasa fesyen kasut.

Justeru, banyak yang boleh dipilih bagi digayakan dengan pelbagai fesyen pakaian baik untuk dipakai bersama baju kurung, jubah, jeans, skirt, dres dan sebagainya.

“Bagi wanita yang ingin nampak elegan dengan postur badan yang menarik, boleh memilih kasut yang berlapik lebar di depan dan bertumit tinggi.

“Manakala bagi yang inginkan keselesaan sepanjang hari semasa bekerja, sesuai dengan kasut yang bertumit baji atau bertumit kecil tetapi tidak terlalu tinggi.

“Jika ingin ke majlis pula, pilih kasut yang dibuat daripada kulit, pvc atau satin yang dihiasi dengan batu permata tiruan,” katannya.

Selain tambah Lenny, untuk wanita yang berkerjaya, suri rumah dan golongan muda, remaja juga mempunyai banyak pilihan kasut di Alfio Raldo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: