Friday, July 30, 2010

Kerabat Diraja Kelantan rentung


KERETA Volvo yang dinaiki Raja Mohammad hangus terbakar selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori simen di persimpangan KLIA, Sepang semalam.


SEPANG - Cubaan seorang pemandu lori simen dan kelindannya untuk menyelamatkan seorang kerabat Diraja Kelantan daripada hangus gagal apabila lelaki itu rentung selepas kereta Volvo dinaikinya terbakar selepas dirempuh kenderaan berat itu dari belakang.

Bagaimanapun, dua lagi penumpang di dalam kereta itu selamat.

Datuk Raja Mohammad Raja Ismail, 60, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas hangus 100 peratus manakala seorang rakan dan anak saudaranya yang dikenali sebagai Tengku Mariani, 26, cedera ringan di kepala apabila sempat diselamatkan.

Kejadian pukul 8.45 malam di kilometer 31.3 Lebuh Raya Elite dekat susur keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dilanggar lori berkenaan dari belakang menyebabkan kereta itu terseret sejauh 20 meter sebelum terbakar.

Difahamkan, sebaik melihat kereta mangsa dan lorinya terbakar, pemandu dan rakannya bergegas turun sebelum memberi bantuan tetapi malang mereka hanya dapat menyelamatkan rakan dan anak saudara ahli perniagaan itu sahaja.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk menghantar anak saudaranya menaiki penerbangan ke Kota Bharu, Kelantan.

"Pemandu lori dan kelindan itu mendakwa mereka mengeluarkan kedua-dua mangsa melalui tingkap kereta yang pecah sebelum api marak.

"Bagaimanapun, ketika hendak menyelamatkan seorang lagi mangsa yang tersepit, api sudah mula marak dan membakar keseluruhan kereta termasuk Datuk tersebut," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Putrajaya sementara jenazah mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: