Friday, July 30, 2010

Jangan jadi ibu bapa toksik


IBU BAPA seharusnya mengetahui apakah yang dilakukan oleh anak-anak termasuk sewaktu melayari Internet. - Gambar hiasan


PENGALAMAN Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) selama 18 tahun merawat dan memulihkan penagih dadah mendapati amalan keibubapaan yang kurang baik menjadi antara punca kepada masalah tingkah laku anak mereka.

Menurut Presiden Pengasih, Yusuf Pathi, anak-anak yang disakiti secara emosi, fizikal dan rohani oleh ibu bapa, adik-beradik atau anggota keluarga yang lain, biasanya akan terjejas dari segi pertumbuhan psikologinya.

Ada ibu bapa yang melepaskan kemarahan serta bebanan kepada anak atau bertengkar di hadapan mereka. Bila abang dan kakak mempunyai masalah, ia dilepaskan kepada adik.

"Ada juga ibu bapa yang melakukan penderaan fizikal, seksual selain mengabaikan keperluan emosi anak-anak. Selain hubungan yang tidak mesra di antara adik-beradik turut menyumbang kepada situasi itu," tambah Yusuf.

Gaya keibubapaan negatif yang diamalkan oleh ibu bapa ini tidak ubah seperti toksik kerana merosakkan anak. Ibu bapa bertoksik mencederakan anak-anak melalui perlakuan dan kata-kata mereka.

Selain itu, Yusuf juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Sikap terlalu mengkritik juga boleh menjurus kepada kecacatan kendiri anak.

Sikap dan perilaku ibu bapa yang melampau seperti masuk campur dalam hal anak, terlalu mengongkong, memaksa kehendak mereka pada anak, membuat tuntutan yang tidak realistik, membuat peraturan yang mengelirukan, membezakan kasih sayang adalah antara sikap keibubapaan yang perlu dielakkan.

Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu menambah pengetahuan mereka mengenai dunia anak-anak hari ini. Sikap ambil tahu penting supaya mereka tidak mudah ditipu atau diperdaya anak sendiri.


ANAK muda hari ini perlu dididik untuk menjauhi gejala tidak sihat terutama menagih dadah.


"Anak-anak kita hari ini ialah anak-anak yang bermaklumat. Jadi ibu bapa juga perlu mengubah cara pemikiran mereka dengan menerima perubahan zaman dan mendidik anak secara seimbang," jelas Yusuf.

Ibu bapa juga perlu peka terhadap tanda-tanda awal remaja yang berisiko, contohnya, apabila anak mula renggang dengan ibu bapa, tidak dapat bertentang mata bila berkomunikasi, mula memberontak dan terlalu berahsia.

Bermula dari rumah

Mahu atau tidak, ibu bapa perlu menjadi contoh baik buat anak-anak, membimbing dan melatih anak dalam membuat keputusan, mewujudkan suasana yang menyeronokkan di rumah dan mengetahui apa yang anak lakukan.

Segala-galanya bermula di rumah dengan mewujudkan suasana rumah yang harmoni. Ini dapat dicapai melalui diskusi dengan anak tentang pelbagai perkara, meluangkan masa dan mendengar masalah anak.

Misalnya, solat berjemaah dengan anak-anak untuk menerapkan nilai agama dan kebersamaan yang boleh melahirkan anak cemerlang.

Menurut Dr. Yahya Don dari Fakulti Sains Kognitif dan Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), perkataan jemu untuk menegur, mendidik, mengajar, membimbing dan membentuk keperibadian mulia, tidak boleh wujud dalam diri setiap ibu bapa.

"Ada ibu bapa yang merungut seperti 'Sudah berbuih mulut saya menegur atau menyuruh anak saya berubah, tetapi masih begitu juga'. "Persoalannya, berapa kerapkah ibu bapa menegur atau membimbing mereka? Proses ini perlu berlaku secara kerap," ulas Yahya.

Masalah lain yang sering dihadapi adalah sikap tidak sabar ibu bapa untuk melihat anak mereka berubah dalam sekelip mata.

Yahya berpendapat, perubahan tingkah laku biasanya melalui proses dan jangka masa tertentu. Cepat atau singkat perubahan tingkah laku bergantung kepada pengaruh motivasi dan persekitaran anak-anak.


SEKUMPULAN penagih yang berjaya ditangkap dalam satu operasi di bawah jambatan Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur dibawa ke Balai Polis untuk menjalani ujian air kencing.


Ibu bapa juga tidak seharusnya mengambil sikap lepas tangan atau memindahkan tanggungjawab kepada orang lain, seperti kepada pihak sekolah, guru-guru atau pembantu rumah.

Yahya turut menyentuh sikap ibu bapa yang sedia maklum dengan sikap negatif anak di sekolah tetapi sengaja menutup mata dan telinga mereka.

Berdasarkan pengalamannya, Yahya mendapati ada ibu bapa yang tidak mahu mengambil tindakan setiap kali anak-anak mereka terlibat dengan sesuatu gejala tidak sihat.

"Mereka malu pada masyarakat, takut anak-anak bertindak nekad melarikan diri dari rumah, takut ditangkap polis, dipenjarakan dan mengambil sikap memanjakan anak secara melampau," terangnya.

Dalam hal ini, ibu bapa begini perlu dibantu kerana kasih sayang membuatkan mereka buta hingga tidak tahu membuat keputusan. Selain ibu bapa dan guru, masyarakat dan persekitaran turut mempengaruhi perkembangan anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: