Thursday, July 29, 2010

Damai di Spa Eastern Garden


Tetamu boleh bersantai di ruang makan yang dipenuhi perabot jati ketika berada di ruang legar sekiranya hendak menjamu selera.


CUKUP menenangkan jiwa apabila sesekali dapat memanjakan diri dengan urutan dan rawatan badan profesional menerusi teknik dan kemahiran yang unik.

Apatah lagi, dibelai dengan bahan-bahan penjagaan terbaik di seluruh badan, bermula dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki oleh ahli terapi.

Keadaan ini mungkin boleh diumpama seperti berada dalam alam khayalan.

Itulah penangan apabila bersantai sambil merehatkan badan di spa yang menjadi satu keperluan bagi mereka yang penat selepas saban hari bekerja.

Pengalaman pertama kali melangkah masuk ke spa mewah terletak di kaki gunung berapi membuatkan hati begitu teruja dan tidak sabar mendapatkan rawatan yang diberikan.

Malah persekitaran yang eksklusif dan mewah hasil kombinasi mantap hiasan dalaman dan seni bina kontemporari yang menggabungkan elemen tradisi dan moden, amat mendamaikan.

Lebih menarik, lokasinya pula berada di kaki gunung berapi di kawasan Cangkringan, Jogjakarta, Indonesia.

Eastern Garden Marta Tilaar Spa yang dilengkapi empat bilik terapi perseorangan dan dua bilik dengan katil kembar bertutup itu menawarkan khidmat seperti rawatan muka, jakuzi, sauna, urut, pakej spa, rawatan lulur badan dan penjagaan kesihatan.

Memasuki ruang legar spa tersebut, mata terpegun melihat dekorasi yang ada. Setiap ruang dipenuhi indah dengan ukiran kayu jati bagi melambangkan kekukuhan spa tersebut.

Pengurus Besar Spa itu, Ayu Helena Coenellia berkata, dekorasi yang disediakan di Eastern Garden bertujuan untuk memberikan ketenangan kepada pengunjung bersesuaian dengan tujuan utama pengunjung yang mencari kedamaian di tempat ini.

"Kedudukannya bersebelahan gunung berapi juga memberikan ketenangan semula jadi kepada pengunjung,'' ujarnya.

Malah cerita ibu beranak dua ini, biarpun mengekalkan persekitaran yang semula jadi, pihaknya juga turut menggabungkan dekorasi yang moden.

Biarpun spa itu masih baru beroperasi pada awal 2009, Ayu memastikan pelanggannya mendapatkan hanya yang terbaik agar bila mereka pulang nanti dalam keadaan puas hati.

Penggunaan warna pula melebihkan kepada warna-warna terang seperti putih, kuning cair dan hijau menjadi pilihan kepada dinding dengan kemasan lantai berjubin dan parket (parquet).

Tidak mahu padat dengan perhiasan, pokok renek berdaun hijau dan ranting menjadi penyeri di dalam spa ini. Malah, air terjun buatan juga menjadi daya penarik di bahagian luar menyambut tetamu yang berkunjung dengan haruman bunga ros yang ditanam di persekitaran sebagai pewangi semula jadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: