Saturday, July 31, 2010

Pelancong Korea Ke Malaysia Dijangka Bertambah

Penolong Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia di Korea Selatan, Said Zulkifli Said Ahmad di pejabatnya di sini, Jumaat.

SEOUL: Tourism Malaysia di sini menjangka ketibaan pelancong Korea Selatan ke Malaysia terus meningkat berikutan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X, memulakan operasi penerbangan harian terus Seoul-Kuala Lumpur pada November ini.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia di Seoul Said Zulkifli Said Ahmad berkata pelancaran penerbangan ulang-alik Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang itu akan disempurnakan di Seoul pada 2 Ogos ini.

Beliau berkata kadar ketibaan pelancong Korea Selatan ke Malaysia disasarkan bertambah kepada 300,000 orang tahun ini berbanding kira-kira 250,000 orang yang mengunjungi Malaysia tahun lepas.

"Rakyat republik ini selalunya keluar melancong pada akhir November hingga Februari setiap tahun berikutan musim sejuk di sini. Oleh itu, Tourism Malaysia menggunakan tempoh itu untuk memperhebatkan promosi ke Malaysia," katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di pejabatnya di Hansung Building di sini.

Beliau berkata pelancong Korea Selatan yang kebanyakannya terdiri daripada peminat golf, penyelam dan pencinta alam semula jadi gemar melawat ke negara berdekatan dan ini memberi kelebihan kepada Malaysia yang memiliki banyak tempat menarik.

"Sabah menjadi tumpuan rakyat Korea Selatan kerana selain destinasinya yang dekat dan menawarkan banyak lapangan golf, dasar lautnya kaya dengan hidupan maritim dan alam semula jadi yang masih terpulihara," katanya.

Said Zulkifli berkata antara usaha lembaga itu menarik kehadiran pelancong ke Malaysia ialah dengan menyertai pameran Korea Travel Fair (KOTFA), program Malaysia Rumah Keduaku, Festival Makanan Malaysia, misi jualan dan Busan Travel Fair.

Sehingga kini, 500 keluarga republik ini telah menyertai program Malaysia Rumah Keduaku.

Beliau berkata kira-kira 90,000 pelancong Malaysia mengunjungi Korea Selatan setiap tahun untuk melawat beberapa tempat menarik di sini seperti Seoul Tower dan pusat beli-belah di Itae Won, Dong Dae Mun dan Nam Dae Mun.

Apa yang menarik, katanya, kebanyakan pelancong Malaysia tertarik untuk melawat Korea Selatan selepas menonton beberapa siri drama negara ini seperti Winter Sonata dan Autumn In My Heart.

Beliau berkata Malaysia juga boleh memasarkan drama bersiri ke negara ini setelah kejayaan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menembusi pasaran buku Korea Selatan menerusi novel 'Nyawa di Hujung Pedang' yang diterjemah ke bahasa Korea pada 28 Julai lepas.

Pelancaran novel karangan Ahmad Murad Nasaruddin itu disempurnakan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau melakukan lawatan rasmi pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri ke Korea Selatan, dari Isnin hingga semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: