Thursday, July 29, 2010

Evolusi bulu mata


ANTARA rekaan bulu mata koleksi New-Tokyo Odssey daripada Shu Uemura.


KEJAYAAN dan kehebatan Shu Uemura dalam penghasilan bulu mata palsu bermula pada 2005. Ia selepas jenama terkenal itu buat pertama kali membuat rekaan bulu mata dipenuhi berlian serta diselaputi mink khas (bahan seperti logam halus yang berkilau).

Bulu mata palsu itu direka untuk penyanyi antarabangsa, Madonna ketika dia mengadakan konsert jelajah dunia.

Ia menjadi koleksi pertama di bawah koleksi Tokyo Lash Bar yang diperkenalkan Shu Uemura dan dijual secara eksklusif di Neiman Marcus pada harga AS$10,000 (RM35,000) sepasang, menjadikannya bulu mata palsu paling mahal di dunia.

Dengan koleksi itu juga, ia mencetuskan fenomena di kalangan artis dan penggemar fesyen seluruh dunia dalam pemakaian bulu mata palsu apabila mereka teruja menggayakan corak serta gaya bulu mata palsu yang lebih berani.

Sejak itu, tahun demi tahun, koleksi Tokyo Lash Bar bertambah dan ia membuka ruang lebih luas kepada seni bulu mata palsu daripada rekaan ringkas kepada gaya lebih dramatik serta lembut, sekali gus memberi satu lagi pencapaian dalam rangkaian bulu mata palsu.

Setiap koleksi tampil dengan tema dan gaya tersendiri mengikut trend fesyen tahun berkenaan.

Baru-baru ini, Shu Uemura memperkenalkan koleksi Tokyo Lash Bar terkininya dinamakan Neo-Tokyo Odyssey.

Menariknya, Neo-Tokyo Odyssey memberikan anda gabungan solekan mata lebih moden dan mempersonakan bersama pemakaian bulu mata palsu yang kelihatan mewah serta berkerdipan disulami warna-warna futuristik.

Fesyen bulu mata dari Neo-Tokyo Odyssey ini seolah-olah akan membawa pemakainya ke dalam sebuah dunia yang mana mimpi mereka untuk kelihatan ‘unik, pelik dan garang’ bakal menjadi kenyataan.

Penolong Pengurus Perhubungan Awamnya, Shirley How Sher Nee berkata, Shu Uemura memperkenalkan dua jenis rangkaian bulu mata palsu bagi koleksi Neo-Tokyo Odyssey.

“Koleksi ini meliputi dua jenis rangkaian iaitu We are stars yang sesuai digayakan wanita yang ingin tampil dengan kecantikan futuristik.

“Rangkaian Galaxy Goddess pula membariskan pemakaian bulu mata dengan gabungan gaya baju menakjubkan, hebat dan unik.

“Berpegang kepada visi untuk menghasilkan bulu mata palsu yang nampak berani, artistik, menakjubkan dan dihasilkan dengan idea hebat tanpa sempadan, koleksi Neo-Tokyo Odyssey membuatkan bulu mata yang tidak menonjol kelihatan unik serta hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Koleksi Neo-Tokyo Odyssey di pusat membeli-belah Pavillion Kuala Lumpur.

Selain itu, ujarnya, secara tahunan sejak 2006, Shu Uemura mewujudkan Black Book Artist setiap kali pelancaran koleksi Tokyo Lash Bar, iaitu kerjasama yang dijalankan dengan barisan pakar kecantikan termasuk jurusolek tempatan untuk bersama-sama mengeluarkan idea bagi menambahkan lagi kehebatan bulu mata palsu.

Black Book Artists juga diperkenalkan bagi memberi peluang kepada jurusolek tempatan mempamerkan kepakaran dan kreativiti mereka di peringkat antarabangsa.

Kali ini, Shu Uemura mendapat kerjasama daripada lapan jurusolek terkemuka iaitu Chufan, Deric Lim, Deq Sha, Emma Mustafa, Najeeb, Stevensunny, Taisu dan Surya Zainul.

Mereka diberi kepercayaan menyolek model pada pelancaran itu mengikut kepakaran masing-masing bagi disesuaikan dengan tema rekaan bulu mata palsu yang digayakan iaitu futuristik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: