Thursday, July 29, 2010

Siswazah perlu berciri holistik - Permaisuri Agong


Tuanku Nur Zahirah (kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Pingat Emas Canselor kepada Nor Faizah Ismail pada majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 25 Julai - Golongan siswazah berciri holistik dan seimbang dengan keupayaan, potensi dan bakat diri amat diperlukan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara yang cemerlang.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah bertitah, dalam memenuhi tuntutan itu, universiti-universiti yang mengeluarkan para siswazah adalah menjadi penentunya.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menekankan agar mereka melengkapkan diri dengan kemahiran tinggi bagi menangani masalah diri dan organisasi selain memiliki perwatakan dan peribadi mulia.

Sehubungan itu, titah baginda, mereka juga perlu mengutamakan penggunaan daya intelek, tinggi daya fikir, bersikap ilmiah dan berupaya menghadapi apa juga situasi serta rintangan.

Menurut baginda, negara meletakkan harapan yang amat tinggi kepada golongan siswazah memandangkan mereka bakal diserahkan tanggungjawab untuk mengurus masa depan negara.

"Dalam konteks ini, beta berharap transformasi pendidikan berasaskan falsafah Pendidikan Negara seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 dapat melahirkan siswazah yang pemikiran cemerlang, sesuai dengan tuntutan masa kini," titah Raja Permaisuri Agong.

Tuanku Nur Zahirah bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen Ke-8 UMT di Dewan Sultan Mizan di kampus universiti itu di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, para pembesar dan kenamaan negeri serta Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Pada konvokesyen selama dua hari yang berakhir esok itu, seramai 1,577 graduan menerima ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Raja Permaisuri Agong menarik perhatian bahawa pentingnya rakyat negara ini untuk terus bersaing dengan negara maju.

Titah baginda, bagi mengukuhkan nilai ekonomi dan sistem pendidikan, setiap universiti perlu memfokuskan kepada usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang kreatif dan inovatif yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

''Beta juga berharap agar kualiti pendidikan yang ditawarkan dan kursus-kursus pengajian haruslah menepati kehendak dan keperluan industri serta pasaran pekerjaan," titah baginda.

Selain itu baginda bertitah, pengantarabangsaan pengajian tinggi merupakan antara aspek yang perlu diberi perhatian dalam memartabatkan universiti di Malaysia ke arah bertaraf dunia.

Titah Tuanku Nur Zahirah, usaha gigih perlu dilaksanakan supaya universiti di Malaysia setanding dengan universiti di negara maju bagi meningkatkan daya saing dan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa yang berkualiti ke negara ini.

Baginda juga mahu UMT mesti sensitif kepada perkembangan semasa ekoran perubahan landskap ekonomi negara dan dunia dengan kursus yang ditawarkan biarlah relevan dengan keperluan semasa.

Titah baginda, warga kerja UMT perlu menghayati budaya kerja universiti di negara maju yang menjadikan visi serta misi universiti sebagai asas untuk menghasilkan perkhidmatan bermutu tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: