Thursday, July 29, 2010

Kaligrafi 'Islamkan' Zakariya


Mohamed Zakariya senang berkarya di studionya.


DILAHIRKAN pada 1942 di Ventura, California, Mohamed Zakariya ialah rakyat Amerika yang diakui kepakarannya dalam kaligrafi Arab.

Selain mualaf, beliau juga lebih dikenali kerana kejayaannya menghasilkan setem pos khas Aidilfitri.

Dibesarkan di California, ketika muda dia dilatih sebagai jurutera aeroangkasa. Bagaimanapun, kunjungan ke Maghribi telah mengubah keseluruhan hidupnya, termasuk perjalanan kerjaya masa depan.

Beliau tertarik dengan kebudayaan, agama dan bahasa yang diperoleh sepanjang berada di Maghribi. Pengalaman itulah yang mendorong Zakariya mendalami ilmu baru itu, sekali gus memeluk agama Islam.

Kecintaan dan minat mendalamnya dalam seni kaligrafi Arab berputik lebih awal iaitu ketika zaman kecilnya di Santa Monica. Ketika itu buat pertama kalinya dia terpandang kaligrafi Arab di atas sebidang permaidani yang tergantung pada dinding kedai karpet milik seorang yang berbangsa Armenia.

Siapa menyangka beberapa tahun kemudian, beliau mengembara dan singgah ke negara Islam seluruh dunia seperti Mesir, Algeria dan Turki untuk mendalami bidang kaligrafi Islam.

Zakariya mula mempelajari kaligrafi pada 1961. Namun sebelum itu, ketika masih di Amerika Syarikat (AS), Zakaria dinasihati oleh kurator Kesenian Islam di Galeri Freer, Washington D.C. agar kembali semula ke Turki dan mendapatkan latihan dan tunjuk ajar orang yang pakar dalam bidang tersebut.

Selepas menyambung pengajiannya dengan A.S. Ali Nour in Tangier, Maghribi dan secara berasingan di British Museum, beliau dipelawa oleh Research Center for Islamic History, Art, and Culture (IRCICA) di Istanbul untuk belajar di bawah dua jurukhat terkemuka Turki iaitu; Hasan Celebi dan Ali Alparslan pada 1984.

Empat tahun kemudian, Zakariya berjaya memperoleh icazet (diploma) dalam skrip sulus/nesih daripada Celebi pada satu majlis keraian di Istanbul. Pada 1997, beliau memperoleh diploma dalam ta'lik daripada Dr. Alparslan.

Pada tahun 2001, Zakariya mereka bentuk dan bertanggungjawab menghasilkan kaligrafi untuk setem pos AS khas untuk Aidil Fitri, malah yang pertama untuk mengingati cuti bagi umat Islam.

Bukan itu sahaja, Zakariya juga menyampaikan ceramah di pelbagai bengkel berkaitan kaligrafi Islam. Di samping itu, hasil kerja kaligrafinya telah dipamerkan secara meluas di dalam dan luar negara.

Zakariya juga adalah pengarang beberapa rencana dan monograf, termasuklah buku berjudul, Music for the Eyes, yang diterbitkan Metropolitan Museum of Art and the Los Angeles Museum of Art, bersempena pameran Ottoman kaligrafi daripada Koleksi Sakip Sabanci pada tahun 1989-1999. Malah beliau juga menterjemahkan katalog pameran bahasa Turki, Letters in Gold oleh Ugur Derman (IRCICA, 1999)

Memiliki kepakaran pertukangan kayu, pengukir dan jurumesin, Zakariya turut mereka bentuk dan membina idea beberapa contoh barangan antik dan instrumen saintifik seperti yang terdapat dalam koleksi Muzium Sains Aramco di Arab Saudi, Muzium Nasional Qatar, Muzium Time di Rockford, Ill. dan Adler Planetarium di Chicago.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: