Saturday, July 31, 2010

Lapangan East sedia untuk LPGA


Reka bentuk lapangan yang menarik dengan bunker diletakkan di lokasi strategik.


SELEPAS kejayaan menjadi tuan rumah kepada Maybank Terbuka Malaysia awal tahun ini, Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC) kini bersedia untuk satu lagi kejohanan besar.

Pada Oktober ini ia bakal menjadi tuan rumah kepada salah satu pusingan Jelajah LPGA Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Sime Darby LPGA Malaysia.

Untuk menjadi tuan rumah kepada kejohanan besar bukan mudah. Jika untuk Maybank Terbuka Malaysia, KLGCC telah menaiktaraf lapangan West. Untuk LPGA lapangan East pula dinaik taraf supaya ia bertaraf kejohanan dan memenuhi spesifikasi LPGA.

Kerja menaiktaraf lapangan itu melibatkan dua peringkat. Yang pertama membabitkan penyediaan kawasan lapangan golf bertemakan tanah lembap yang siap pada Februari 2009.

Peringkat kedua ialah menaik taraf 13 daripada 18 lubangnya bagi memenuhi keperluan LPGA yang dilaksanakan dari Pertengahan Mac hingga Jun tahun ini.

Sesuai dengan tema itu, lapangan East KLGCC menampilkan ciri-ciri semulajadi dengan pokok-pokok tropika menghiasi sepanjang sempadan di samping persekitaran yang mampu menjadi habitat haiwan terutama ikan dan pelbagai spesies burung.

Sebanyak 12,500 pokok telah ditanam di lapangan East bagi mewujudkan persekitaran yang berasaskan alam semulajadi.

Tarikan lain ialah terdapat sebuah taman rusa dan pondok persinggahan yang bercirikan rumah kampung.

Secara keseluruhan lapangan ini tidak panjang iaitu hanya 5,679 meter. Tetapi ia bukan direka untuk mereka yang mempunyai pukulan jauh. Ia lebih kepada pemain yang teknikal atau pemain yang sabar dan yang berfikir sebelum melakukan setiap pukulan.

Lubang satu par-4 misalnya, jarak paling jauh ialah 250 meter. Secara relatifnya cukup senang cuma perlu melepasi fairway bunker di kiri. Tapi perlu dipastikan bola mendarat di fairway. Jika terbabas bola pasti akan ditelan oleh rumput rampai yang menjadi hiasan di kiri kanannya.

Selain halangan berair yang menjadi ciri utama lapangan East, rumput rampai hiasan yang memagari hampir setiap fairway perlu dielak.

Sudah tentu lapangan ini tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai pukulan melilau seperti Tiger Woods.

Sebanyak lapan lubang terbabit dalam pengubahsuaian menyeluruh termasuk melibatkan perubahan kedudukan.

Lubang sembilan dahulu kini menjadi lubang dua sementara lubang dua kini adalah lubang empat.

Antara yang menarik ialah par-3 lubang 15 dengan green pulau. Jaraknya tidak jauh hanya 124 meter. Di sini memerlukan pukulan iron yang tepat. Bunker seperti pantai di hadapan green perlu dielakkan. Ia nampak mudah tetapi ramai yang berakhir dengan bola di dalam air.

Jika dilihat pada jarak yang dicatatkan, lapangan ini tidak susah. Tetapi, ramai yang gagal mencatatkan permainan yang baik ketika beraksi di sini.

Sebabnya, ia memerlukan permainan mental. Pengurusan lapangan penting untuk elakkan kawasan-kawasan yang boleh memberikan masalah.

Terdapat dua lubang par-4 yang pendek iaitu lubang empat dan 13. Lubang empat ada paya di sepanjang sebelah kiri fairway hingga ke green.

Lubang 13 pula terdapat longkang yang melintasi fairway selain air yang menunggu jika pukulan terbabas dari green.

Satu lagi ciri menarik di lapangan East KLGCC ialah bunkernya yang berbeza. Sama ada bunker fairway atau di tepi green, ia mempunyai tebing yang curam dan ada yang dalam. Untuk pemain amatur berhandikap tinggi, untuk keluar dari bunker ini memang cukup azab.

Secara keseluruhannya, lapangan ini sememangnya sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Sime Darby LPGA Malaysia.

KLGCC boleh berbangga kerana ia kini mempunyai dua lapangan yang bertaraf kejohanan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: