BACHOK - Seorang warga emas kerugian lebih RM10, 000 selepas dipercayai dipukau dua lelaki sehingga menyerahkan enam barang kemas miliknya di Kampung Badak dekat sini, Ahad lalu.
Ketika kejadian, Kelthum Salleh, 68, yang ditemani cucu-cucu kerana suami keluar bekerja sedang menyediakan makan tengah hari sebelum didatangi dua lelaki yang menyamar sebagai ejen dari sebuah syarikat minyak masak.
“Pada mulanya, salah seorang dari mereka datang ke rumah dan bertanya minyak jenis apa yang makcik gunakan untuk memasak serta sudah berapa lama menggunakan minyak berkenaan kerana sekiranya tempoh di bawah lima tahun, ada hadiah yang bakal dimenangi.
“Dia bertanya lagi, adakah makcik inginkan hadiah tersebut yang berbentuk ubat gigi, susu dan sabun mandi, sambil mengarahkan makcik membawa keluar botol-botol minyak yang sudah digunakan ke halaman kerana lori yang membawa hadiah akan dapat melihat bukti tersebut sebelum datang memberikan hadiah yang dijanjikan,” katanya.
Menurutnya, selain itu lelaki berkenaan turut memaklumkan bahawa makcik turut memenangi satu lagi hadiah iaitu cabutan bertuah berupa peti dua pintu dan sebuah motosikal dari peraduan Power Root dan makcik tidak perlu membayar apa-apa kecuali mengisi borang yang dibawa sebagai bukti penerimaan hadiah berkenaan.
Kelthum berkata, dia kemudian diminta menurunkan tandatangan pada borang berkenaan sebelum suspek sekali lagi menggunakan helah ingin melihat nombor pada rantai emas yang dipakainya.
“Entah mengapa makcik terus menganggalkan rantai berkenaan tanpa sebarang bantahan dan memberikan kepada kedua-dua lelaki berwajah Cina Melayu itu yang kemudian mendesak untuk mendapatkan lima barang lain lagi, sebelum makcik menanggalkan dua bentuk cincin dan menyerahkan kepada mereka,” katanya.
Dia berkata, kedua-dua lelaki tersebut terus mendesak untuk mendapatkan tiga lagi barang kemas milikinya sebelum dia masuk ke dalam rumah dan mendapatkan ketiga-tiga barang kemas yang diminta.
“Mungkin kerana terlalu lama menunggu, lelaki berkenaan turut masuk ke dalam rumah untuk melihat makcik mengambil barang kemas yang disimpan dan kalau dikira kesemua enam jenis barang kemas iaitu dua urat rantai, seutas gelang, dua bentuk cincin dan satu bentuk kerongsang yang diserahkan itu nilainya kini melebihi RM10,000,” katanya.
Kelthum berkata, dia hanya menyedari kejadian itu sebaik kedua-dua penjenayah berkenaan meninggalkan halaman rumahnya selepas berpesan agar dia bersiap kerana akan didatangi krew TV3 dan Power Root untuk mengadakan penggambaran bersama dengan menggunakan minyak masak yang diguna.
“Makcik hampir pengsan sebaik menyedari kejadian yang menimpa. Dua hari tidak dapat menjamah nasi dan sehingga kini masih dalam keadaan terkejut hamper semua barang kemas hilang sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, difahamkan pada hari yang sama suspek turut mendapatkan mangsa di beberapa buah rumah di lokasi yang sama, namun gagal kerana dipercayai terdapat ahli keluarga lelaki di rumah berkenaan.
“Bagaimanapun cara yang digunakan suspek hampir sama iaitu meninggalkan sebuku sabun mandi kecil di setiap rumah yang dikunjungi sehingga menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka yang terlibat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: