|
|
BACHOK 20 Julai - Penderitaan rakyat Palestin terus mendapat perhatian masyarakat negara ini lebih-lebih lagi apabila ada 'wakil' kita merasai sendiri keadaan cemas berhadapan dengan tentera Zionis Israel.
Pengalaman 12 wira Malaysia atas kapal bantuan kemanusiaan Mavi Marmara yang dalam perjalanan ke Gaza, Palestin 31 Mei lalu tidak mungkin dilupakan dan kehadiran mereka ditagih di setiap pelosok negara untuk masyarakat mendengar dari mulut mereka sendiri tentang apa yang berlaku.
Ini termasuklah Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di sini yang tidak ketinggalan mengadakan program khusus 'Untukmu Palestin' dan menjemput salah seorang daripada wira Mavi Marmara, iaitu Presiden Aqsa Syarif, Hasanuddin Mohd. Yunus bagi menceritakan pengalamannya.
Program selama dua hari bermula 17 Julai itu diadakan di Dataran KIST kampus Bachok dan disertai bukan sahaja pelajar bahkan seluruh kakitangan menerusi aktiviti pameran, penghasilan bendera terbesar Palestin, persembahan nasyid, deklamasi sajak, pengisian tabung sumbangan selain acara kemuncak iaitu ceramah daripada Hasanuddin.
Hadir sama Naib Presiden (Hal Ehwal Akademik), Mansor JA Fenner yang menyampaikan ucapan perasmian mewakili Presiden KIST, Muhamad Zamly Abdullah serta Pengerusi Aman Palestin Malaysia cawangan Kelantan, Sharipudin Ab Kadir.
Ceramah yang disampaikan Hasanuddin menjadi lebih menarik apabila beliau menggunakan tayangan 'slide' untuk menerangkan sejarah awal bumi Palestin ketika dirobek penjajah dan pemaparan kekejaman yang berlaku di sana ke atas rakyatnya sehingga meruntun hati kesemua hadirin yang memenuhi Dataran Kist itu.
Beliau juga menunjukkan sedikit video yang sempat dirakam semasa serangan tentera Israel ke atas kapal Mavi Marmara dan penonton dapat melihat bagaimana helikopter pengganas Zionis terbang meninggalkan kapal pada peringkat awal setelah 'dilastik' sukarelawan dari negara Turki yang berada di situ.
Hasanuddin turut menceritakan pengalaman para sukarelawan sejak dari awal perancangan yang diterajui Yayasan Hak Asasi Kemanusiaan, Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH Turki) bagi menghantar bantuan menerusi jalan laut secara besar-besaran itu sehinggalah kepada pembebasan mereka dari penjara Israel.
Beliau menjelaskan misi bantuan kemanusiaan tersebut tidak membawa satu senjata pun sebaliknya kesemua kapal yang menyertai konvoi 'Freedom Flotilla' itu dipenuhi dengan 10 tan ubat-ubatan dan 10 ribu tan bahan pembinaan seperti simen dan besi.
"Ketika kami sampai di pelabuhan Ashdood, wartawan Barat yang menunggu di sana bertanya betulkah ada senjata atas kapal sebagaimana didakwa Yahudi, saya menjawab saya hanya membawa berus gigi sahaja," katanya.
Hasanuddin berkata, walaupun dihalang, misi itu sebenarnya tidak gagal kerana telah berjaya mengejutkan kembali dunia yang sedikit alpa dengan penindasan yang berlaku lebih 60 tahun ke atas Palestin.
Katanya, masyarakat antarabangsa seluruhnya kini semakin membuka mata dan ia bukan terhad kepada penganut Islam sahaja.
"Di negara kita juga isu Palestin kini telah diangkat menjadi isu nasional dan mendapat sokongan semua pihak sama ada pemerintah ataupun parti bukan pemerintah.
"Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri meminta kami sukarelawan yang terlibat agar terus mengadakan program penerangan di seluruh negara untuk tujuan ini," katanya.
Beliau berkata, satu konvoi lebih besar yang melibatkan 100 kapal mengisi pelbagai bantuan kemanusiaam akan dilancarkan pada pertengahan Ramadan ini dan ia dijangka akan dipenuhi majoriti masyarakat bukan Islam dari Eropah.
"Kita akan lihat seberani mana pula Israel menghalang konvoi pada kali ini," katanya.
Hasanuddin sempat menasihatkan pelajar agar tidak hanya merasa terkesan dengan penderitaan Palestin semasa program dan ceramah tetapi juga berusaha memboikot produk dari beberapa syarikat gergasi yang secara jelas menampung kegiatan Zionis.
Dalam pada itu, Muhamad Zamly dalam teks ucapan perasmiannya yang dibacakan Mansor berkata, adalah diharapkan program seumpama itu akan terus menyemarakkan kesedaran pelajar tentang isu yang berlaku.
Katanya, pelajar harus sedar, umat Islam hari ini berhadapan dengan cabaran hebat termasuklah penindasan yang rejim Zionis terhadap penduduk Palestin dan mereka sepatutnya mengambil cakna dan membantu sekadar termampu.
"Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin dan terus mengikuti perkembangan yang berlaku di bumi yang menempatkan Masjidil Aqsa itu," katanya.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) KIST, Mohd Shahrul Mat, ketika ditemui pula berkata, dia amat berpuas hati dengan sambutan yang diberi oleh warga KIST dalam program tersebut dan berharap pelajar terutamanya akan terus memberi perhatian kepada isu Palestin.
Katanya, walaupun program seumpama itu adalah yang pertama kali diadakan, tetapi pelajar di situ sudah memulakan langkah mendekatkan diri dengan perjuangan Palestin ini apabila lebih 50 daripada mereka sudah menjadi sukarelawan Aman Palestin sejak awal tahun.
Pada majlis itu, isteri Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi (COO) kampus Bachok, Noraihan Che Ali telah menyampaikan sumbangan hasil kutipan daripada kakitangan dan pelajar KIST kepada pihak Aqsa Syarif dan Aman Palestin cawangan Kelantan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: