Saturday, July 31, 2010

Resipi baru biskut raya


Chef Peter Lim menunjukkan cara membuat roti berkhasiat pada bengkel Eksklusif MEGA-Daisy siri ketiga, baru-baru ini.


BULAN Ramadan tinggal kira-kira dua minggu lagi. Bagi wanita atau suri rumah yang gemar ke dapur, ada yang sudah mula menyelongkar almari mencari buku-buku resipi dan berkira-kira biskut raya apa yang ingin dicuba untuk Syawal nanti.

Jemu dengan resipi lama apa kata mencuba resipi baru yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Namun tidak perlulah bersusah-payah mencipta resipi sendiri yang belum tahu jadinya.

Sebaliknya, semua itu boleh diperoleh dengan menyertai Bengkel Biskut Raya dan Kek anjuran akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan MEGA dengan kerjasama Daisy Margerin.

Bengkel akan berlangsung pada 31 Julai ini (esok) dan 7 Ogos ini di Dapur Lam Soon di Senai, Johor.

Penganjuran bengkel tersebut merupakan siri keempat dan kelima bagi siri Bengkel Eksklusif Bersama MEGA-Daisy.

Kedua-dua Bengkel Biskut Raya dan Kek ini akan dikendalikan oleh Chef Zanifah Md. Nor dari D'Flower Cake.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang bakeri, beliau sememangnya terkenal dalam menghasilkan resipi--resipi biskut dan kek yang unik serta menarik.

Menurut Zanifah, kemahiran membuat biskut raya harus dimanfaatkan sebagai aktiviti yang mendatangkan pendapatan.

Katanya, menjelang musim perayaan pasaran untuk biskut raya sebenarnya amat luas lebih-lebih lagi bagi biskut buatan sendiri.

"Jadikan penyertaan di bengkel ini boleh dijadikan satu permulaan untuk memulakan perniagaan yang mendatangkan pendapatan lumayan sepanjang Ramadan ini," katanya.

Dalam pada itu menurut Zanifah, pada bengkel 31 julai peserta akan diajar secara teori dan praktikal cara membuat dua jenis biskut moden iaitu Tart Swan dan biskut Kissingglory serta satu resipi kek iaitu kek Waka Waka.

Manakala bengkel pada 7 Ogos menampilkan resipi berbeza yang turut diciptanya sendiri.

"Para peserta bukan saja dapat mempelajari resipi baru tetapi lebih penting memperoleh panduan dan petua-petua memasak yang kebanyakannya tidak terdapat dalam mana-mana buku," katanya.

Paling menyeronokkan, setiap peserta boleh membawa pulang hasil 'air tangan' sendiri.

Sementara itu, yuran sebanyak RM125 (bengkel 30 Julai) dan RM200 (bengkel 7 Ogos) seorang dikenakan meliputi sarapan pagi, makan tengah hari, sijil penyertaan, cenderahati daripada Daisy dan beberapa hadiah cabutan bertuah yang menarik.

Bengkel sehari suntuk itu bermula seawal 9.30 pagi. Bagi yang berminat menyertainya boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Jenama di talian 03- 92210202 (Lieya) atau datang terus ke Dapur Lam Soon di Senai Complex, PLO 173, Jalan Cyber Utama, Kawasan Perindustrian Senai III, Senai, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: