Saturday, July 31, 2010

Pasangan gagal hayati ilmu kursus


Penghayatan peserta adalah perlu untuk memantapkan diri mereka dengan ilmu berkaitan rumah tangga. - Gambar hiasan


KAK, ajarkan saya macam mana nak baca doa Qunut? Saya ingat, ingat lupalah! Tolonglah kak, kalau saya tak lepas baca doa itu, nanti saya tak dapat sijil, malu saya…”

Itulah antara pengalaman yang sehingga kini masih segar dalam ingatan apabila seorang wanita peserta kursus Pra-Perkahwinan dan Kekeluargaan Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor tidak lama dulu.

Ia berlaku sebelum para peserta, terdiri daripada pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan ditasmik atau diuji ingatan oleh ustaz dan ustazah mengenai bacaan dalam solat.

Ini untuk melayakkan mereka menerima sijil yang cukup bermakna bagi pasangan yang ingin berumah tangga.

Semua dilakukan hanya kerana sekeping sijil. Bukan kerana malu kepada tuhan.

Namun bantuan dihulurkan juga sebagaimana yang diminta.

Begitulah sebahagian realiti apabila kita bercerita mengenai kursus yang ‘wajib’ diambil dan dilalui bagi bakal pengantin.

Tanpa sijil yang diperkenalkan sejak awal 1990-an itu, tidak mungkin mereka akan berjaya melangkah masuk ke gerbang perkahwinan.

Maknanya, hingga ke hari ini sudah ratusan ribu ‘graduan’ kursus praperkahwinan dilahirkan.

Mereka sudah pastinya mempunyai matlamat perkahwinan yang sangat murni, iaitu untuk membina rumahtangga yang kukuh dan utuh.

Perkahwinan itu pula penuh dengan kebahagiaan dan kasih sayang dan sehingga ke akhir hayat tidak akan ada kesudahan. Ini kerana, perkahwinan adalah untuk selamanya!

Kalau pun ada di tengah-tengah pelayaran ribut membadai, hasil daripada kursus tersebut sepatutnya boleh dijadikan penyelamat dalam memastikan rumah tangga bertahan dan mereka tahu mencari jalan penyelesaian.

Begitu pun kita kini terganggu dengan angka-angka perceraian dan berita-berita tidak lagi tidak sebumbung dan tidur sekatil di kalangan umat Islam dalam jumlah yang agak membimbangkan.

Malah ada jumlah yang tinggi melibatkan pasangan yang bercerai dalam tempoh satu ke lima tahun berumahtangga (rujuk statistik) iaitu hampir 40 peratus.

Apakah maknanya ini? Terkadang masih di alam bulan madu, inai masih merah di jari tetapi pasangan seperti tiada pilihan kecuali bercerai. Sedangkan kursus pra perkahwinan seperti baru semalam dilalui.

Pengerusi sebuah pusat kursus praperkahwinan swasta, Zura Akademik, Mohamed Nor Mohamed, 69, berkata, ibu bapa zaman dahulu walaupun tidak mengikuti sebarang kursus, hidup kekal sepanjang hayat hanya maut yang memisahkan.

Bukan itu sahaja, tanah berhektar-hektar pun boleh dibeli untuk diwariskan kepada anak-anak. Tetapi itu tidak berlaku pada anak-anak hari ini, mengapa?

“Wajib mengambil kursus praperkahwinan kadang kala buat syarat sahaja. Mereka bukan hadir untuk menimba ilmu,” jelasnya.

Zura Akademik yang ditubuhkan hampir 20 tahun lalu telah melalui pelbagai pengalaman dalam berhadapan para peserta kursus yang ingin berkahwin.

Kata beliau, pihaknya hanya menyediakan tempat kursus sementara modul, fasilitator serta penceramah disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi).

“Jadi kita tidak pernah lari daripada peraturan dan syarat yang ditetapkan. Daripada semasa ke semasa kita juga sentiasa dipantau,” katanya.

Maka tidak sepatutnya timbul cerita pusat-pusat kursus yang mengambil untung sahaja tetapi tidak menawarkan kursus secara berkesan.

Ini kerana di Wilayah Persekutuan terdapat lebih 100 pusat kursus pra perkahwinan swasta dengan bayaran tertentu.

“Tetapi yang benar-benar beroperasi mungkin kurang daripada itu. Yang lain mungkin ditutup atau menghadapi masalah.

“Jabatan agama pula telah memberi amaran dan mengambil tindakan. Maka pusat-pusat yang masih beroperasi pada hari ini menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang diamanahkan,” katanya.

Lalu apabila berlaku juga keruntuhan rumah tangga dan perceraian selepas menjalani kursus praperkahwinan maka adakah wajar kursus tersebut dipersalahkan?

Mohamed Nor berkata, adalah tidak adil meletakkan kesalahan 100 peratus kepada kursus tersebut.

“Lagipun kursus ini hanya berlangsung 13 jam sahaja sebagai memenuhi syarat untuk mendapatkan sijil.

“Untuk 13 sahaja, apa sahaja yang kita perolehi? Sedangkan ilmu rumah tangga adalah terlalu luas dan perlu sentiasa dipelajari selagi kita bergelar suami isteri,” jelasnya.

Namun Mohamed Nor sentiasa menegaskan kepada para peserta kursus bahawa apa yang mereka lalui dalam kursus hanyalah perkara asas.

Justeru tidak boleh dijadikan jaminan mengekalkan rumah tangga yang bahagia.

“Sebabnya, selepas ini perlu masih banyak belajar, sama ada melalui bahan cetak, belajar daripada pasangan yang lain, belajar daripada ibu bapa mahupun alam di samping sentiasa menjaga solat dan berdoa agar rumah tangga yang dibina tidak runtuh menyembah bumi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau tidak menafikan ada keperluan diperkenalkan kursus lepas kahwin atau pasca perkahwinan.

“Ini kerana banyak faedah dan manfaat yang boleh pasangan perolehi. Elok-elok hendak bercerai tidak jadi bercerai, yang bahagia akan semakin bahagia.

“Maka kerajaan perlu memikirkan apakah insentif yang sesuai bagi menggalakkan pasangan suami isteri menyertai kursus seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: