Saturday, July 31, 2010

Jaguar XJ beri kepuasan maksimum


Dari kiri Graham Hatch, Mick Razza bersama Syed Hussain Syed Mohamed bergambar dengan kereta baru pada majlis pelancaran kereta baru Jaguar XJ di Pavilion, baru-baru ini.


BAGI peminat kereta mewah sudah tentu tertanya-tanya, bilakah model terbaru Jaguar bakal berada di pasaran Malaysia.

Jawapannya, pada 27 Julai lalu, Sisma Auto Sdn. Bhd., pengimpot dan pengedar tunggal jenama tersebut di negara ini telah melancarkan model terbarunya di Jaguar Lifestyle Gallery di Pavillion.

Model terbaru XJ menampilkan ciri-ciri moden, hasil rekabentuk yang menarik, sporti dan berkejuruteraan tinggi.

Kehadiran model XJ turut dibantu oleh kejayaan model-model XK dan XF untuk membawa nafas baru bagi jenama Jaguar, sekaligus menjadikan model XJ sebagai model empat pintu utama untuk jenama British.

Model baru itu dijangka meluaskan lagi pasaran XJ ke generasi profesional yang lebih urban dan muda.

Selain itu, model ini menampilkan kemewahan dalam sebuah jentera automotif dengan rekaan sofistikated yang masih menampilkan keghairahan sebuah sports coupe.

Ia dilengkapi dengan teknologi terbaru Jaguar dan rekaan kontemporari yang elegan untuk memastikan keselesaan mutlak bagi pemandu dan juga para penumpangnya.

Antara ciri utama XJ yang memiliki enjin Gen III 5.0 liter V8 tanpa turbo dan enjin 5.0 liter V8 dengan pengecas turbo mampu memberikan kepuasan pemanduan maksimum kepada pengemar kereta mewah.

Bercirikan pemanduan yang responsif, sempurna dan dinamik hasil dari gabungan sistem suspensi udara, penyerap hentak bolehlaras berterusan, active differential control dan stering berkuasa dengan nisbah singkat (quick-ratio) mampu bersaing dengan jenama yang lain.

Teknologi badan aluminium Jaguar hasil inspirasi aero angkasa menjadikan XJ 150 kilogram lebih ringan daripada model setanding dengannya. Ini memberikan XJ kelebihan dari segi prestasi, pengendalian dan penjimatan bahan bakar disamping meningkatkan kekuatan casis, penghalusan pemanduan penuh dengan ciri-ciri keselamatan.

Rekaan bumbung panoramik yang inovatif turut memberikan penekanan kepada keluasan kabin XJ selain dijual dengan 14 pilihan warna untuk ruang kabin, serta 11 pilihan kayu veneer untuk memastikan keunikan kabinnya menepati citarasa pemilik bertuah.

Di tambah dengan kecanggihan teknologi skrin 12.3 inci, definasi tinggi untuk sistem panel instrumen maya yang digandingkan dengan skrin sesentuh 9 inci dengan teknologi dual view membolehkan penumpang menonton filem sementara pemandu melihat paparan menu untuk fungsi kenderaan ataupun peta bagi navigasi satelit.

Sistem audionya pula dilengkapi dengan premium terbaik dari Bowers & Wilkins berkuasa 1200W setanding dengan sistem hiburan audio di rumah.

Antara ciri lain termasuk sistem audio dan navigasi satelit menggunakan pemacu tetap, ia juga mampu menerima pelbagai pemain audio dan video lain dengan menggunakan sistem media hub.

Pengarah Urusan Sisma Auto Sdn. Bhd., Syed Hussain Syed Mohamed berkata, tahun ini merupakan tahun yang cukup bertuah buat Sisma dan juga Jaguar kerana bukan sahaja mereka berjaya melancarkan model tebaru XJ ini, tetapi ia juga disusuli dengan sambutan ulangtahun ke-75 jenama berprestij itu.

“Model baru XJ meletakkan tahap baru untuk segmen kereta salun mewah dan kami di Sisma Auto cukup berbangga untuk melancarkannya di Malaysia,” katanya.

Tambah Pengarah Operasi Luar Negara untuk Jaguar, Mick Razza berkata, Jaguar telah menggantikan kesemua model lamanya dengan model yang terkini, bermula dari siri XF, XK, dan model terbarunya XJ.

“Ketiga-tiga model ini merupakan tunjang utama dalam usaha untuk membina kembali jenama Jaguar,” ujarnya yang tiba dari United Kindom khusus untuk pelancaran tersebut.

Pengarah Rekabentuk Jaguar, Ian Callum berkata, XJ ialah intepretasi moden untuk model klasik Jaguar.

“Reka bentuk tingkap sisi berbentuk titisan air (teardrop shape), jarak roda yang lebar dan bentuk badan XJ yang tampak gagah ini memberikan reka bentuk barunya satu impak visual penjenamaan semula Jaguar,” jelasnya.

Model terbaru XJ, 5.0L V8 Premium Luxury dijangkakan dijual di bawah paras harga RM1 juta. Bagaimanapun harganya akan diberitahu kelak diikuti oleh versi 5.0L V8 Supercharged XJ.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sisma Auto Sdn. Bhd. di talian 03-2775 5155 atau email kepada rahimaton@pdq.com.my dan adelene@pdq.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: