KUALA LUMPUR, 30 Julai Kerajaan akan menubuhkan Koperasi Permodalan Felda 2 (KPF 2) dengan dana awal berjumlah RM10 juta untuk membantu generasi muda Felda merebut peluang dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat Felda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada masa ini, generasi baru Felda tidak dibenarkan menjadi ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) sedangkan kumpulan ini semakin bertambah bilangannya serta berminat untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi.
"Kerajaan sedar akan hasrat dan kehendak generasi baru untuk merebut peluang dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat Felda. Malah, ramai di antara mereka ini berminat untuk bergiat aktif menerusi koperasi," kata Najib dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kegiatan KPF 2 akan ditumpukan kepada pembangunan fizikal di tanah rancangan selain memegang ekuiti tertentu dalam syarikat Felda.
Bagaimanapun, koperasi ini tidak akan menjadi pesaing kepada KPF tetapi ia menjadi pelengkap serta menambah rantaian ekonomi sedia ada, kata beliau.
"Oleh yang demikian, saya bagi pihak kerajaan ingin mempelawa semua generasi baru Felda untuk terlibat dalam koperasi ini di samping merebut peluang dalam aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh anak-anak syarikat Felda.
"Kerajaan berharap usaha ini akan disambut baik oleh generasi muda Felda demi memastikan untung nasib keluarga peneroka di seluruh negara terus terbela," kata Najib.
Pada masa ini warga peneroka membuat pelaburan dalam Koperasi Permodalan FELDA (KPF) yang menguasai 51 peratus pemilikan dalam FELDA Holdings.
Sehingga kini, KPF yang telah ditubuhkan sejak 30 tahun lalu, berjaya memenuhi hasrat ahli-ahli yang terdiri daripada warga FELDA dan mendapat pulangan yang memuaskan setiap tahun, kata beliau.
Dividen yang dibayar oleh KPF setiap tahun secara puratanya 14 peratus dan merupakan satu daripada yang tertinggi di negara ini. Ahli KPF adalah seramai 189,415 orang dan memiliki modal syer berjumlah RM1.2 billion.
Bagi mengekalkan pulangan dividen sekurang-kurangnya 10 peratus setahun, KPF menetapkan dasar, modal syer ini dihadkan tidak melebihi RM1.5 bilion.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: