KUALA LUMPUR: Teater Muzikal Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya bermula Sabtu lalu berjaya menyentuh hati penonton.
Naskah sasterawan negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang itu benar-benar memberi sentuhan berlainan bagi mereka yang menyukai teater.
Dipentaskan buat pertama kalinya pada tahun 1972, Uda dan Dara dipentaskan semula di Istana Budaya bermula 10 Julai sehingga 20 Julai ini.
Prebiu kepada pihak media diadakan pada malam Isnin.
Pengarah teater tersebut, Datuk Rahim Razali berkata, beliau amat berpuas hati dengan persembahan itu.
Katanya, segala latihan pementasan telah membuahkan hasil yang menggalakkan apabila para pelakon berjaya menjiwai watak yang dibawakan oleh mereka.
"Muzik, tarian serta lakonan bergabung dengan baik sekali dan mencapai keseimbangan. Ini menjadikan persembahan malam ini berjaya dan menarik sekali," katanya kepada MStar Online.
Dalam pementasan itu, persembahan kedua-dua pelakon utama, Razali Hussain sebagai Uda dan Misha Omar (Dara) begitu berkesan sehingga sesetengah pelakon mengesat air mata menonton nasib malang pasangan itu.
Sementara itu, Penerbit Kumpulan Produksi teater berkenaan, Dale Majid berkata, masih terdapat ruang untuk meningkatkan lagi tahap persembahan.
Katanya, setiap kali selepas persembahan, pihaknya akan menjalankan post-mortem bagi mengenal pasti apa-apa kelemahan yang boleh diperbaiki.
Muzikal Uda dan Dara - sebuah karya agung Seniman Negara Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, adalah sebuah kisah cinta tragis.
Ia menceritakan kisah dua darjat yang mewakili dua kelompok manusia. Seorang anak tani bernama Uda dilamun cinta dengan gadis kaya bernama Dara.
Bagaimanapun, hubungan pasangan itu tidak direstui oleh sesetengah pihak. Ini kerana isu darjat, kuasa dan kasta dipersoalkan oleh mereka yang berada, berpangkat dan berdarjat.
Muzikal Uda dan Dara turut membariskan pelakon seperti Umi Kalsom (ibu Uda), Rosdeen Suboh (Uteh), Radhi Khalid (Pak Long) dan Mazlan Tahir (Alang Bakhil).
Tiket-tiket menyaksikan persembahan ini masih dijual dan boleh ditempah dengan menghubungi 03-41498600 atau layari web www.tiket2u.biz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: