|
|
MENJELANG musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, pemberian buah tangan dalam bentuk hamper kepada seseorang yang diingati pasti menjadi pilihan.
Budaya tersebut semakin berkembang di kalangan agensi atau syarikat yang setiap tahun tidak pernah lupa untuk menghantar bungkusan istimewa kepada pihak-pihak yang telah membantu mereka.
Tidak terkecuali individu yang menyerahkan bingkisan menarik itu kepada seseorang yang dekat di hati.
Seiring dengan perubahan masa, pemberian buah tangan atau cenderahati turut mengalami evolusi.
Apatah lagi cetusan kreativiti dan idea manusia yang memang tiada batasannya sehinggakan bingkisan yang dihasilkan begitu unik sekali.
Biasanya bungkusan itu disediakan oleh mereka yang kreatif, misalnya yang dihasilkan oleh Kuzie Ku Abas.
Tahun ini, dengan mengetengahkan konsep klasik, moden dan tradisional, sudah pasti Kuzie memberi tumpuan kepada cara pembungkusan yang cukup menarik dan lebih eksklusif.
Menurut Kuzie, dia cuba mencari kepelbagaian dan kelainan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan pada setiap musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sebagai contoh pada tahun ini, katanya, dia menyediakan pelbagai jenis hamper yang dibahagikan kepada tiga konsep dan setiap satunya digubah dengan cara yang berbeza-beza untuk memberikan kelainan.
"Dalam menghasilkan hamper, saya lebih mementingkan kualiti dan pemilihan bekas atau kotak hamper pelbagai bentuk, saiz dan warna reben mengikut kesesuaian tema yang dipilih.
"Tujuan sesuatu pemberian hadiah adalah sebagai tanda ingatan buat penerima dan bagi penerima pula, pasti dia akan berasa lebih dihargai apabila buah tangan yang diterimanya cantik dan boleh disimpan serta dijadikan kotak hiasan di rumah,'' ujarnya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
Melihat hasil kreativitinya melalui hamper yang dihasilkan, Kuzie yang juga mengendalikan R&R Craft berkata, apa yang istimewa mengenai kesemua koleksi hamper yang dihasilkannya menggunakan biskut buatan sendiri.
Tidak cukup dengan itu, pihaknya turut memuatkan cenderamata seperti set minum petang, alas meja, kain sutera dan kain songket sebagai tambahan hamper.
Selain itu, penggunaan kotak-kotak khas serta bakul yang ringkas dan cantik memberi cukup ruang kepada pelanggan sebagai cenderahati sempena Aidilfitri nanti.
R&R Craft menawarkan harga berpatutan iaitu serendah RM50 sehingga RM1,500.
Malah Kuzie memberitahu dia juga menerima tempahan hamper mengikut bajet masing-masing.
Dalam pada itu, selain menerima tempahan hamper, Kuzie turut menganjurkan bengkel membuat hamper di Bilik Pandan, Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kampung Pandan.
Terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat, bengkel sehari tersebut yang akan diadakan pada 7 Ogos ini akan mengajar teknik-teknik gubahan hamper di samping peserta juga akan didedahkan cara memperoleh bahan mentah dan teknik pemasaran hamper.
Bengkel tersebut yang dijangka bermula jam 8.30 pagi itu dan berakhir 4.30 petang terhad kepada 50 orang peserta sahaja.
Yuran sebanyak RM350 dikenakan untuk setiap peserta dan ia termasuk makan dan minum selain bahan mentah dan peralatan untuk membuat hamper disediakan penganjur dan tarikh tutup pendaftaran pada 31 Julai ini.
Bagi sebarang pertanyaan untuk bengkel hamper dan juga tempahan hamper, anda boleh hubungi Kuzie di talian 018-3863000 atau 016-6155230.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: