KUALA LUMPUR 26 Julai - Pelajar dinasihati menyimpan rekod-rekod bertulis kenyataan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengenai akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai bahan bukti untuk tindakan lanjut.
Antara lain ia bertujuan memudahkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi mengambil tindakan undang-undang terhadap IPTS yang bermain taktik kotor dengan menawarkan diploma dan ijazah yang tidak diiktiraf kerajaan.
Jurucakap kementerian memberitahu Utusan Malaysia, IPTS tidak dibenarkan mengambil pelajar baru jika gagal mendapat akreditasi daripada MQA apabila kursus yang ditawarkan matang.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun IPTS dibenarkan untuk mengiklan dan membuat pengambilan pelajar sesuatu kursus selepas mendapat kelulusan kementerian dan mendapat Pentauliahan Sementara (PA).
Namun, katanya, mereka perlu mendapatkan akreditasi penuh sebelum pelajar pengambilan pertama mereka diberi penganugerahan.
"Pada masa sama bagi mereka yang membuat sijil akreditasi palsu atau mengelirukan semasa mempromosikan sesuatu IPTS juga boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 75 Akta 555," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muka depan Utusan Malaysia pada Sabtu lalu membongkar taktik licik beberapa IPTS yang memperdaya pelajar dengan mengeluarkan diploma dan ijazah tanpa diiktiraf demi mengaut keuntungan mengikut jalan kotor.
Akhirnya, pelajar yang terpaksa menjadi mangsa dan 'tersangkut' kerana tidak boleh menggunakannya untuk mencari pekerjaan atau melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Mengulas mengenai kursus berkembar yang ditawarkan dengan kerjasama universiti luar negara, jurucakap kementerian itu berkata, semua kursus tersebut wajib mendapat kelulusan dan penilaian oleh MQA.
Katanya, sekiranya didapati bersalah, pengendali kursus terbabit boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 40 (2) Akta 555 IPTS.
"Jika disabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau memberitahu, sehingga Jun 2010, kementerian telah mengeluarkan kompaun sehingga RM171,000 manakala tiga kes pendakwaan telah disabit kesalahan dan didenda RM15,000.
Sehubungan itu, beliau menasihati pelajar supaya sentiasa membuat pemilihan yang teliti dan mendapat pengesahan sebelum mengikuti sesuatu program di IPTS.
Mereka juga boleh melayari Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) dan MQA untuk mendapat nasihat atau melalui e-mel akreditasi@mqa.gov. my atau khidmat pelanggan di talian 03-79684057/6036.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: