Thursday, July 29, 2010

Kanak-kanak terhibur persembahan muzikal


Orkestra Filharmonik Malaysia melakukan persembahan secara live pada pembukaan persembahan muzikal Heroes and Heroines.


MUZIK mampu memupuk kreativiti dan meningkatkan ketajaman minda seseorang terutama apabila ia didedahkan sejak usia muda lagi.

Begitupun tidak semua kanak-kanak berpeluang menikmati kelebihan untuk belajar muzik atau berada dalam lingkungan mereka yang terbabit dalam dunia tersebut.

Hakikat tersebut tidak menghalang sekumpulan 150 kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) dari pelbagai rumah kebajikan, untuk menikmati kemerduan muzik daripada para pemuzik profesional di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sempena raptai pembukaan persembahan muzikal Heroes and Heroine baru-baru ini.

Persembahan muzikal tersebut yang dipersembahkan secara langsung oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di bawah kendalian Matthew Coorey dan juga perantara, Kevin Hathway.

Pada persembahan tersebut, 'tetamu' istimewa itu bukan saja dibuai dengan muzik-muzik merdu oleh anggota orkestra bertaraf antarabangsa, malah terhibur denga celoteh Hathway yang memainkan peranan dalam memberikan jalan cerita yang menarik selain berkomunikasi bersama penonton.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mercedes-Benz Malaysia, Peter Honegg berkata, program tersebut merupakan satu kerjasama antara Mercedes-Benz Malaysia dengan DFP demi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

''Kami sebenarnya telah dijemput oleh DFP setengah tahun yang lalu dan baru kali ini kami berjaya menjalinkan kerjasama ini.

''Ini merupakan kali pertama kami mendedahkan mereka (kanak-kanak dan OKU) dengan program yang bersangkutan dengan muzik di mana sebelum ini kami telah melakukan pelbagai aktiviti seperti membawa mereka menonton wayang, melawat Aquaria dan sebagainya.

''Kami sendiri secara peribadi membantu tiga buah rumah perlindungan secara tetap dan ia merupakan satu kerja kebajikan yang dilakukan secara berterusan,'' ujarnya.

Kanak-kanak serta orang dewasa yang dibawa menonton muzikal tersebut terdiri daripada penghuni-penghuni rumah perlindungan San Pedro; Persatuan Rumah Kanak-Kanak Ini Disayangi (Rumah K.I.D.S); rumah Angel's Children; Bangsa Ria Association For The Disabled; Yayasan Salam Malaysia; Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang; Rumah Taman Megah's Handicapped & Disabled Children's dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Antara karya-karya yang dipersembahkan oleh 83 orang ahli orkestra seperti Soldiers Into Rome, Balanced An Apple Like William Tell, Entered The Magical World of Harry Potter, Danced With Orpheus, Saddled-up For A Cowboy Rodeo dan Became An Accomplice To Mickey Mouse in The Sorcerer's Apprentice.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif DFP dan MPO, Karina Ridzuan, sokongan yang diberikan oleh Mercedes-Benz Malaysia mengeratkan lagi perhubungan yang sedia ada dengan Petronas.

''Ini merupakan kerjasama antara kami buat kali pertama dan apa yang dilakukan oleh Mercedes-Benz Malaysia hari ini merupakan satu jalinan kerjasama yang akan diteruskan pada masa hadapan.

''Idea ini juga sebenarnya secara tidak langsung memberi peluang kepada kanak-kanak kurang upaya untuk melihat sendiri DFP dengan lebih dekat di samping mendengar alunan muzik secara live oleh pemain-pemain muzik yang berpengalaman.

''Untuk pengetahuan bersama, DFP juga mempunyai kemudahan untuk mereka yang kurang upaya dan ini secara tidak langsung memudahkan pergerakan mereka,'' katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: