GEMAS 23 Julai - Program Utusan Sukma Sepagi Bersastera hari ini mendapat sambutan meriah apabila berjaya menghimpunkan 400 pelajar dan guru dari sekitar Tampin dan Rembau.
Program sempena Minggu Sastera Utusan itu yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di sini menampilkan tiga tokoh sastera tanah air iaitu Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Profesor Madya Dr. Lim Swee Tin dan Mahaya Mohd. Yasin.
Program itu dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Tampin, Mohd. Aris Azis.
Ini merupakan kali pertama program seumpama itu diadakan di sekolah berkenaan berikutan kejayaan program pertama pada tahun lepas.
Menurut pengetua sekolah itu, Sakdiah Saleh, program seumpama itu amat dinanti-nantikan oleh warga sekolah terutama yang terletak di luar bandar.
"Program ini amat bermanfaat kepada pelajar dan juga guru-guru khususnya di sekitar daerah yang terlibat. Selain dapat memberi pendedahan mengenai kesusasteraan dan bahasa Melayu, program ini juga mampu memupuk minat pelajar untuk cintakan bahasa Melayu dan sastera tanah air," ujarnya.
Menurutnya, menerusi program itu para pelajar dan guru dapat mendekatkan diri kepada pengkarya terkenal.
Jelas Sakdiah, program itu secara tidak langsung mencetuskan idea kepada pihak sekolah untuk menganjurkan program kesusasteraan dan bahasa Melayu di peringkat sekolah bagi menjamin kelangsungan minat pelajar dalam bidang sastera.
Program Utusan Sukma akan diteruskan di tiga lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Teknik Juaseh, Kuala Pilah pada 27 Julai ini diikuti SMK Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson pada 3 Ogos ini manakala pada 5 Ogos nanti di SMK Rantau, Seremban.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: