Thursday, July 29, 2010

Kongsi ilmu dalam suasana ceria


Turut diadakan peragaan fesyen muslimah dari Butik Women 2 Women.


PENGISIAN ilmu yang padat dan menceriakan. Itulah gambaran ringkas yang dapat disimpulkan daripada bengkel Sayangi Diri Sayangi Keluarga bersama WANITA yang berlangsung di Hotel Istana, baru-baru ini.

Bengkel yang disertai hampir 120 peserta itu merupakan siri pertama anjuran majalah WANITA, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dan telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Hasmah Wan Mohamad

Dalam ucapan perasmiannya Wan Hasmah berkata, bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang wanita ia pastinya memerlukan pembahagian masa yang bijak dan dalam masa yang sama tidak melupakan kesihatan diri sendiri. Ini kerana, ada segelintir wanita ataupun para ibu yang lupa akan kesihatan diri dan sanggup berkorban apa saja demi kesejahteraan keluarga. Oleh itu, aspek mental, fizikal dan spiritual perlu diuruskan dengan baik agar semua tugas berjalan lancar.

Oleh itu, katanya lagi pengisian pelbagai topik yang menarik serta panduan ilmu kekeluargaan yang disediakan melalui bengkel ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Ketua Pengarang Majalah (UKSB), Badrul Azhar Abdul Rahman; Pengurus Besar Operasi UKSB, Zurzaliza Bajuri; Pengarang Kanan Majalah Keluarga merangkap Pengarang WANTA, Normala Hamzah dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZS), Nor Mukshar Harun dan Pengasas II yang juga Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan DCL dan D'Navechee, Datuk Azlina Che Abdullah yang merupakan rakan strategik juga kerjasama daripada konsultan imej dan pemilik butik Women 2 Women (W2W), Yasmin Sidek dan Pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah Shuib.

Antara topik yang dikongsi bersama dengan peserta pada bengkel tersebut adalah etika berpakaian serta penampilan diri yang disampaikan oleh Yasmin Siddek. Juga tidak ketinggalan aspek kesihatan yang berkaitan dengan kehidupan sihat oleh Pakar Sakit Puan, Datuk Dr. Norashikin Mokhtar, demostrasi penjagaan kulit dan solekan oleh D'Navechee, ceramah Anggun dan Cemerlang oleh Datuk Azlina Che Abdullah, Agar Bidadari Iri Hati Pada Mu, satu tajuk yang agak menarik yang berjaya menggamatkan suasana dewan disampaikan oleh Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman dari Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan. Selain itu, peserta turut disajikan dengan perkongsian atau rahsia penjagaan diri (luar dan dalam) serta senaman oleh Ibu Halimah dari Jamu Mak Dara dan juga pertunjukan fesyen busana muslimah daripada Butik W2W.

Acara eksklusif tahunan ini yang mana Kuala Lumpur menjadi destinasi pertama tidak bererti tanpa adanya sokongan daripada pelbagai pihak yang memberi tajaan. Selain daripada rakan strategik yang dinyatakan sebelum ini, bengkel ini turut mendapat tajaan daripada Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, sokongan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Empire Classic Furniture, Norizan Bakers dan ramai lain.

Setelah bergerak ke Alor Setar pada 18 Julai lalu, bengkel akan ke Kota Baharu, Kelantan pada 30 Julai akan datang bertempat di Perdana Beach Resort, Pantai Cahaya Bulan. Mereka yang berminat menyertainya diminta menghubungi Iskandar 013-3451945b atau redaksi WANITA 89262999- 476/471/472 untuk pendaftaran dan pertanyaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: