Saturday, July 31, 2010

Seramik penggemar kucing


SERAMIK seperti bingkai gambar dan piring hiasan yang dilukis dengan subjek kucing.


KE mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Itulah pepatah biasa yang mengaitkan persamaan yang diwarisi anak daripada ibu atau bapanya. Nur Yusniza Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Jaja Kucing dalam kalangan rakan-rakannya ialah anak seorang pelukis negara yang tersohor, Yusof Ismail atau Yusof Gajah.

Kini beliau giat mengetengahkan bakatnya dalam bidang lukisan seramik.

Sebagaimana bapanya, bakat yang diwarisi oleh Nur Yusniza memberi dia peluang untuk menjana pendapatan melalui hasil seninya.

"Melalui seramik, saya dapat mempelbagaikan produk dan hasil seni saya. Mulanya idea untuk melukis seramik tercetus apabila melihat ayah saya melukis gajah pada seramik tanah liat untuk dijadikan dekorasi. Apabila melihat hasil yang unik dan cantik, saya tertarik untuk mencuba," kata Nur Yusniza.

"Saya bermula dengan dekorasi gambar bunga dan ternyata ramai yang menyukainya. Melihat sambutan yang baik diberikan, saya meneruskan untuk melukis seramik sebagai pendapatan sampingan. Lagipun seramik yang dijual lebih murah berbanding harga lukisan," jelasnya yang kemudian memilih kucing menjadi trademark seninya.

Beliau memilih kucing sebagai subjek utama kerana telatah haiwan itu yang manja.

Nur Yusniza yang memelihara tiga ekor kucing menjadikan semua kucing beliau sebagai model lukisannya.

Pernah mendalami bidang psikologi, Nur Yusniza yang kini berusia 27 tahun menyatakan kucing merupakan haiwan terapi stres yang terbaik.

Lukisan Nur Yusniza yang menggambarkan seekor kucing yang sedang tersenyum dalam pelbagai posisi, berpelukan dan berenang di dalam air menjadi simbolik naluri dan kasih sayangnya kucing.

Mengakui masyarakat hari ini semakin terbuka dengan hasil karya seni, ia semakin memudahkan beliau untuk mengembangkan bakat seninya.

"Malah, pernah suatu ketika dahulu, seorang lelaki India datang dan mengucapkan tahniah kepada saya kerana orang India sendiri tidak pernah terfikir untuk melukis di atas seramik tanah liat yang menjadi barangan budaya mereka," kongsi Nur Yusniza yang biasanya melukis di rumah atau studio Gajah Gajah Gallery.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: