Friday, July 30, 2010

Penumbuk jawab pertanyaan isteri

AMPANG: “Abang pergi dengan siapa? Lelaki ke perempuan?” Dua pertanyaan itu menyebabkan seorang wanita cedera di muka selepas ditumbuk suaminya yang bengang diajukan soalan itu.

Bukan sekadar ditumbuk, mangsa berusia 20-an turut ditarik rambut dan dimaki-hamun dengan pelbagai kata-kata kesat.

Kejadian berlaku dalam kereta ketika pasangan suami isteri bersama anak mereka berusia dua tahun dalam perjalanan pulang ke rumah di Pandan Indah di sini, kira-kira jam 10 malam, 22 Julai lalu.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di hidung dan bengkak di muka selain sakit di kepalanya akibat rambut ditarik dengan kuat.

Menurut sumber, ketika berada dalam kereta berhampiran sebuah pasar raya, wanita itu bertanyakan suaminya yang bekerja sebagai kerani berhubung tugasan luar daerah yang perlu dihadiri lelaki itu di utara Semenanjung, hujung minggu ini.

“Pergaduhan tercetus hanya disebabkan mangsa bertanya dengan siapa suaminya pergi, sama ada dengan teman sekerja lelaki atau perempuan.“Selepas puas membelasah, lelaki itu menghantar isteri dan anaknya pulang sebelum dia beredar meninggalkan rumah,” katanya.


Sumber itu berkata, mangsa yang tidak berpuas hati membuat laporan polis berhubung kejadian itu.Difahamkan, rumah tangga pasangan itu memang sudah bergolak dan kejadian ini kali kedua berlaku kepada mangsa. Sebelum ini, dia pernah ditumbuk di hidung tiga tahun lalu.

Sebelum ini, mangsa enggan membuat laporan polis, namun kali ini dia nekad kerana sudah tidak tahan dengan perangai panas baran suaminya.

Dalam kejadian berasingan, tindakan cuba mempertahankan isteri dan anak daripada dibawa pulang keluarga mentua, seorang lelaki cedera selepas bergaduh dengan abang iparnya di Kampung Melayu Ampang di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan, abang iparnya datang ke rumah mangsa kerana mahu menjemput isteri mangsa yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak sulung bersama ibunya.

Bagaimanapun, isteri mangsa enggan kerana tidak mahu berjauhan dengan suami selain tidak mahu menyusahkan keluarga.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa sedang tidur dalam bilik sebelum didatangi isterinya yang menangis teresak-esak.

“Isterinya memaklumkan dia dimarahi ibunya manakala abangnya dalam perjalanan untuk mengambil mereka berdua. Mentua mangsa memang berada di rumah berkenaan kerana menjaga isteri mangsa yang sedang berpantang. Isterinya juga memberitahu enggan mengikut kemahuan mereka,” katanya.

Menurutnya, keluarga isterinya mahu membawa wanita terbabit pulang kerana mendakwa mangsa yang bekerja sebagai jurujual di pasar tidak mampu menjaga isteri dan anak kerana selalu mengalami masalah kewangan.

“Mangsa memaklumkan keputusan isterinya kepada mentua dan abang iparnya yang baru tiba di rumahnya. Namun, mentuanya terus memarahi dan mula menolak isteri mangsa membuatkan mangsa tidak berpuas hati dengan tindakan itu,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa cuba menghalang mentuanya dengan menepis tangan wanita terbabit.

“Ketika itulah, abang iparnya masuk campur dan mendakwa mangsa cuba memukul ibunya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka sebelum keadaan reda sementara apabila mangsa mengizinkan isterinya mengikut keluarganya pulang ke rumah mereka.

“Bagaimanapun, mangsa mengubah fikiran apabila melihat isterinya menangis kerana enggan berpisah dengannya. Selepas gagal berbincang, mangsa membelasah abang iparnya dengan sebatang besi kerana terlalu geram.

“Abang iparnya membalas dengan memukulnya menggunakan sebatang kayu. Akibatnya, mangsa menerima lapan jahitan di kepala, patah tangan selain telinganya koyak,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian berjaya melarikan diri sebelum mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kedua-dua kejadian pergaduhan akibat masalah rumah tangga itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: