Saturday, July 31, 2010

Keunikan spa terapi rimba


ATAS: Beberapa pengunjung Zees Valley Bioscience Jungle Spa mencuba terapi rimba di spa tersebut.


SEKALI imbas Zees Valley Bioscience Jungle Spa di kawasan Perindustrian Chembong di Rembau, Negeri Sembilan tidak banyak berbeza dengan spa-spa lain di negara ini. Mengambil konsep spa Bali dan Thai bagaimanapun, tawaran spa terapi rimba antara keunikan yang terdapat di Zees Valley Bioscience Jungle Spa.

Menggunakan bahan dan teknik rawatan berteraskan alam sekitar serta kaedah alternatif turun-temurun menyebabkan semakin ramai yang ingin mencuba terapi rimba itu.

Pengurus pemasarannya, Azmi Mohd. Salleh berkata, antara keunikan di Jungle Spa merangkumi aktiviti senaman seperti lompatan beruk, lompatan kanggaru dan senaman lompat 360 darjah.

"Tujuan senaman ini adalah untuk memutuskan 'tarikan graviti' bumi agar darah kita menjadi lebih 'baru'.

"Ia juga bertujuan membuka urat-urat badan agar mempunyai tekanan dan mewujudkan vakum agar darah lebih lancar lantas menerbitkan lebih banyak getaran elektrik. Getaran elektrik inilah yang akan menerbitkan tenaga badan," katanya.

Minuman botanikal

Menurut Azmi, dalam setiap rawatan itu turut disertakan dengan minuman botanikal yang diadun menggunakan metodologi unsur tanah, api, air dan angin.

Bahan yang digunakan dalam minuman tersebut ialah putik bunga melur, mengkudu hutan, cekur, potongan limau purut, rumpai laut, beri acai, ginseng, pegaga, guarana, manggis, delima dan buah prun.

"Minuman ini juga tidak mengandungi sebarang gula putih sebaliknya manisan daripada ekstrak stevia yang tidak mengandungi kalori. Kedua-dua kaedah ini bertujuan untuk membina otot-otot baru yang lebih pejal, padu, padat dan kuat," jelas Azmi.

Rawatan lain yang turut ditawarkan di spa itu, termasuklah senaman buah kelapa muda dan mandi air terjun atas batang pinang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Zees Valley Bioscience Jungle Spa anda boleh menghubungi talian 019-649 4198 atau 06-685 4724 atau faksimili 06-685 4725.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: