|
|
"Chef macam mana saya nak pandai memasak? Bila masak selalu tak menjadi dan kurang sedap!"
Tiba- tiba soalan ini telah membuatkan saya untuk menulis artikel bagaimana boleh menjadi seorang chef yang hebat di rumah.
Salam dan bertemu kembali kepada semua pembaca Utusan Malaysia. Dari Dapur Azli Razali kali ini ingin berkongsi dengan anda beberapa perkara asas yang perlu anda beri perhatian andai anda ingin memasak sehebat seorang chef di rumah.
Semestinya seorang chef yang profesional memerlukan pengalaman yang luas dalam industri makanan seperti bekerja di hotel, restoran dan sebagainya.
Anda juga boleh jadi sehebat chef jika makanan yang dimasak itu enak dan mendapat pujian teman-teman atau keluarga di rumah.
Memasak memerlukan perancangan kerana ia membantu dari segi pengurusan sebelum dan ketika memasak. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak memasak dinasihatkan mencuba masakan yang mudah dahulu.
Selain itu pembacaan tentang teknik memasak juga dapat menambah ilmu memasak.
Membaca buku-buku dan majalah dapat memberi idea kepada anda cara untuk berkreatif dalam menghasilkan sesuatu masakan.
Memasak juga memerlukan panduan dan bimbingan jadi jangan segan untuk bertanya kepada orang yang lebih mahir dan berpengalaman.
Sesuai dengan peredaran zaman, banyak resipi di laman sesawang boleh kita cuba.
Tetapi anda perlu memastikan setiap resipi yang ingin anda cuba daripada Internet adalah dari sumber yang boleh dipercayai.
Semak dengan teliti setiap bahan-bahannya sama ada sesuai dan terbukti hasilnya baik. Pastikan juga bahan-bahan yang digunakan mudah diperolehi. Saya sendiri banyak mencuba resipi dari Internet termasuklah dari blog-blog persendirian.
Adakalanya saya perlu mengolah resipi itu supaya hasilnya memuaskan.
Harus lebih berhati-hati dan perlu bijak berkreatif untuk mengolah resipi dari internet. Ini dapat mengelakkan pembaziran wang dan masa.
Memasak juga memerlukan keberanian. Jika sekali buat dan hasilnya tidak memuaskan anda harus jadikan ia sebagai motivasi untuk terus memperbaiki segala kekurangan. Anda perlu mengkaji di mana ruang yang harus diperbaiki, mungkin pada teknik memasak atau resipinya.
Sebelum membeli, senaraikan bahan-bahan mentah yang diperlukan supaya tidak ada yang terlupa. Cara ini dapat menjimatkan ketika membeli-belah. Selain itu, masa memasak anda juga dapat dipercepatkan kerana tiada barang yang terlupa dibeli.
Mise en place juga amat membantu dalam aktiviti memasak anda di dapur. Mise en place bermaksud persediaan awal sebelum anda memasak yang dapat mempercepatkan proses memasak.
Lakukan kerja-kerja seperti mengupas bawang, mengisar cili dan beberapa kerja lain lebih awal. Bahan-bahan yang disediakan awal itu perlu disimpan ditempat yang sepatutnya agar tidak cepat rosak.
Juga pastikan lokasi bahan-bahan dan peralatan dapur berada di tempat yang mudah dicapai dan dicari bagi menjamin kelancaran sekali gus mengelakkan anda jadi kelam kabut.
Minggu ini saya mengambil risiko dengan mencuba resipi saya dapat daripada Internet. Saya telah mengolahnya mengikut kreativiti sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: