Sunday, July 18, 2010

Tunggu Ella umum




DUA minggu lalu, telefon Diva berdering tak henti-henti. Semuanya bertanyakan perihal Ratu Rock kesayangan ramai, Ella yang kononnya telah membuat pengumuman bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Diva pun telefon teman Diva di Sensasi Bintang, Suzana dan Opie. Mereka pun turut mendengar cerita yang tidak tahu pucuk pangkal itu.

Jadi baru-baru ini, teman Diva sempat bertemu dengan Ella yang manja dan cantik itu pada satu sidang media di Menara Kuala Lumpur.

Terus teman Diva bertanyakan soalan tersebut memandangkan ramai sangat yang mahu tahu.

Ella tenang menjawab. Katanya dalam nada manja: "Ella tak marah bila dengar cerita tersebut. Tapi Ella tidak mahu komen apa-apa. Malah, Ella sendiri tidak tahu daripada mana cerita itu timbul.

"Tapi Ella janji, kalau jadi nanti Ella akan buat sidang akhbar untuk teman-teman media.

"Buat masa ini, Ella minta privasi Ella dihormati. Lagipun Ella sangat sibuk dengan pertunjukan pentas."

Sewaktu dijolok lagi dengan soalan lelaki pujaan hati, penyanyi ini lantas bangun dan mencium teman-teman media serta minta diri untuk pulang.

Bijak cara Ella mengelak soalan peribadi dan teman-teman media pun menghormati apa yang dipintanya. Setahu Diva, buah hati Ella bernama Elan, lelaki yang bertanggungjawab mereka kulit album Ella sebelum ini.

Bukan apa, sebenarnya semua orang sedang mendoakan kebahagiaan dan teringin melihat Ella naik pelamin.

Bukan setakat Ella, tetapi kawan-kawan Diva juga mendoakan Jojie, kakak Ella turut berbahagia di samping orang tersayang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: