Sunday, July 18, 2010

Ratu Ular dalam pembikinan


PUTERI tinggal bersama 100 ekor ular berbisa selama sebulan di dalam sebuah bilik kaca di Kota Bharu sebagai latihan untuk mencipta rekod dunia.


WALAUPUN nyawa menjadi taruhan, itu bukanlah penghalang buat seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, Puteri Nur Aryani Saiful Yuzah yang mesra dengan panggilan Puteri, 24, memilih ular sebagai 'teman kerjaya'.

Pengalaman selama lapan tahun bersama reptilia berbisa itu dijadikan azimat dalam usahanya untuk bergelar Ratu Ular Malaysia suatu hari nanti.

Menceritakan pengalamannya, Puteri berkata, pada peringkat awal beliau sekadar ingin mencuba dan menganggapnya sebagai hobi mengisi masa lapang.

Menurutnya, selepas menyaksikan satu pertunjukan ular di sebuah pusat beli-belah di Pulau Pinang pada tahun 2003, keterujaannya bertambah.

Katanya, semangatnya semakin menebal untuk pergi jauh dalam bidang ini selepas beliau dipelawa menyertai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai WildLife Entertaiment dan Vipers Entertaiment.

"Bersama kumpulan itu, saya menimba ilmu sebelum berkenalan dengan suami saya yang juga salah seorang anggota kumpulan itu, Mohd. Saiful Abdul Aziz, 26," ujarnya.

Tambah Puteri, suaminya banyak memberikan tunjuk ajar sehingga beliau mampu melakukan aksi berbahaya bersama ular di atas pentas.

"Apa yang saya lakukan hari ini adalah atas dorongan diri sendiri sejak berusia 16 tahun lagi.

"Walaupun bermula agak lewat, saya percaya dapat mencipta lebih banyak kejayaan dalam bidang ini," katanya.

Puteri memberitahu, beliau berhasrat untuk mencipta rekod dunia dengan menjadi Ratu Ular pertama Malaysia yang menerima pengiktirafan antarabangsa khususnya dalam World Guinness Records.

Bagi mencapai cita-cita tersebut, beliau kini mempersiapkan diri dengan tinggal bersama 100 ekor ular selama sebulan di Muzium Negeri Kelantan bermula 6 Julai lalu hingga 7 Ogos ini.

"Perasaan takut itu memang ada. Saya jadikannya sebagai pembakar semangat untuk mencapai impian," tambah beliau.

Sepanjang lapan tahun melibatkan diri dalam bidang itu, beliau pernah dipatuk ular sebanyak kira-kira 50 kali namun hanya mengalami kecederaan ringan.

Tambahnya, beliau telah mengadakan pertunjukan di seluruh tanah air serta luar negara antaranya Korea Selatan, Singapura dan Jepun.

Katanya, sambutan penonton amat menggalakkan khususnya di luar negara sehingga mampu menarik hampir 5,000 penonton pada setiap persembahan.

"Ini merupakan kenangan manis saya selain dapat berkenalan dengan pemain ular dari Indonesia dan Thailand," terangnya.

Ditanya mengenai insiden terdapat pemain ular yang maut akibat terkena patukan, Puteri menjelaskan perasaan takut itu memang ada, namun beliau menjadikan rasa takut itu sebagai peringatan supaya lebih berhati-hati semasa membuat persembahan.

"Sebab itulah semasa buat persembahan kita perlu fokus kerana jika tersilap langkah, ia boleh mengundang padah.

"Setakat ini saya banyak membuat persembahan menggunakan ular daripada spesies ular tedung senduk dan sawa sahaja. Ular tedung selar belum pernah lagi kerana ia cukup bahaya," katanya.

Dalam pada itu, Puteri sempat berkongsi petua sekiranya dipatuk ular.

"Kalau terkena patukan ular, langkah pertama ialah kita jangan panik, cari seutas tali dan ikat pada tempat terkena patukan tadi untuk mengelakkan bisa terus merebak.

"Selepas itu dapatkan rawatan di hospital. Jika terlewat ia boleh memudaratkan diri," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: