|
|
SELEPAS mencipta populariti menerusi program realiti popular, The Amazing Race Asia musim kedua (TARA2) pada tahun 2008, pasangan adik-beradik ini tidak betah duduk diam.
Ada sahaja aktiviti yang mereka lakukan untuk mengisi masa mereka mahupun membantu mereka yang memerlukan khidmat nasihat mereka.
TARA2 meletakkan nama Vanessa Chong, 32, dan adiknya, Pamela, 27, di tahap yang cukup membanggakan.
Meskipun hanya menduduki tempat kedua dalam program berkenaan, penyertaan mereka dalam TARA2 mendapat perhatian yang cukup meluas.
Bukan sahaja di Malaysia, bahkan nama mereka juga opular di kalangan peminat program itu di negara Asia.
Luah mereka jujur, bukan populariti mahupun kemasyhuran yang dicari. Sebaliknya, mahu membuktikan bahawa wanita Malaysia seperti mereka juga mempunyai jiwa kental yang usah sesekali dipandang enteng.
Apatah lagi, sebelum ini pun mereka berdua sudah terkena tempias populariti selepas saudara kandung mereka, Vince diangkat sebagai juara Akademi Fantasia musim pertama.
Berbanding Pamela, Vanessa terlebih dahulu menggamit perhatian ramai ketika dia menggalas tanggungjawab sebagai pengurus Vince untuk beberapa tahun.
Selepas kejayaan yang diraih menerusi TARA2, ramai yang beranggapan Vanessa dan Pamela sudah semakin suram kerdipan populariti mereka.
Tidak banyak kisah mereka yang dipaparkan di media.
Bertemu dengan dua beradik yang cukup petah ini, mereka menyangkal dakwaan berkenaan.
Sebaliknya mereka memberitahu, selepas TARA2, banyak tawaran yang diterima.
Tawaran yang di luar jangkaan ialah ditawar menjadi speaker oleh syarikat korporat dan swasta yang datang mencurah-curah.
Vanessa dan Pamela cukup sedar mereka bukan ahli politik atau cendekiawan yang bijak melontarkan kata-kata ajaib untuk memukau audiens.
“Apabila ada pihak memberi kepercayaan kepada kami untuk memberi ceramah motivasi diri ia satu penghormatan.
“Bukanlah mahu mendakwa kami bagus kerana ramai lagi yang lebih layak. Bagi kami, apa yang kami luahkan dalam ceramah yang kami sertai adalah untuk berkongsi pengalaman ketika menyertai TARA2,” jelas Vanessa panjang lebar ketika ditemui selepas berakhirnya Forum Sistem Analisis Statistikal (SAS) Ke-23 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara baru-baru ini.
Kedua-duanya dijemput oleh syarikat berkenaan untuk membentangkan kertas kerja bersama beberapa panel jemputan lain yang bertemakan Power356 - Rise Above Challenges.
Memegang portfolio baru sebagai penceramah benar-benar mengujakan dua beradik kacukan Cina dan Inggeris ini.
Bagi mereka, apa yang dipersembahkan pada setiap ceramah dan forum semata-mata untuk memberikan aura positif kepada mereka yang hadir.
Sememangnya kata mereka, penglibatan dalam TARA2 menawarkan pengalaman yang terlalu berharga.
Enggan mendabik dada, sebaliknya, jelas Vanessa dan Pamela, sepanjang penglibatan dalam TARA2, mereka sentiasa bersikap optimis.
“Jika hendak dibandingkan dengan peserta lain, kami lebih tenang dan relaks dalam berdepan dengan pelbagai situasi.
“Tidak perlu tergopoh-gapah jika hendak membuat sebarang keputusan kerana semuanya akan berada dalam keadaan yang baik seandainya kita tanamkan sifat positif dalam diri,” kata Pamela berkongsi ceritanya.
Biarpun sudah tiga tahun berlalu, kenangan yang diabadikan sepanjang TARA2, terus mekar dalam ingatan Vanessa dan Pamela.
Kerana TARA2 jugalah mereka dikenali sehingga mencatat beberapa kejayaan peribadi. Salah satunya tersenarai dalam senarai 100 wanita yang paling dikehendaki oleh majalah FHM.
Malah, kedudukan mereka dalam senarai itu juga berjaya mengalahkan beberapa nama besar dan popular antarabangsa lain seperti Megan Fox.
“Sebenarnya, kalau hendak diikutkan, aktiviti yang kami sertai dalam TARA2 tidaklah terlalu membebankan dan menyusahkan kami.
“Kerana kami berdua memang aktif dalam aktiviti lasak dan pantang ada yang menawarkan, kami akan turut serta.
“Sempat juga kami berdua menjelajah Amerika Syarikat selepas TARA2. Ia pengalaman yang cukup hebat sekali,” ujar Vanessa sambil dipersetujui Pamela.
Pada masa yang masa, mereka juga melahirkan rasa bertuah dan berterima kasih kepada TARA2 kerana memberikan impak yang besar kepada kehidupan mereka.
Impak itu bukan ditujukan kepada orang perseorangan tetapi untuk kedua-duanya sehingga ramai yang menjadikan nama The Chong Sisters sebagai satu jenama isi rumah.
“Kerana label The Chong Sisters itu jugalah kami menerima banyak tawaran untuk menjadi duta berkaitan produk wanita yang melambangkan ciri-ciri wanita sofistikated dan optimis seperti kami.
“Malah, ada pihak dari pusat dan penjagaan kesihatan juga menawarkan kami untuk menjadi jurucakap untuk mereka.
“Daripada situ, kami melihat perjuangan kami di TARA2 bukanlah satu perkara yang sia-sia dan pihak-pihak ini melihatnya dari sudut positif yang dapat dikongsi bersama mereka yang lain,” luah Pamela penuh jujur.
Vanessa juga menjelaskan dia dan Pamela juga tidak menang tangan menerima tawaran sebagai hos dan pengacara majlis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: