Dia bukanlah selebriti atau dari kalangan mereka yang terkenal. Namun artikel kali ini mengisahkan seorang blogger yang sedang meningkat naik, Ariff Shah bin Ramlan atau lebih mesra dengan panggilan Ariff. Baru sahaja memenangi iPod Touch menerusi Peraduan Rekrut Blogger ManggaAd, Ariff mengakui selesa meluahkan pendapatnya menerusi ruang peribadi yang dicipta khas untuk tatapan bersama. "Mula-mula saya wujudkan blog dalam bahasa Inggeris yang membincangkan isu ekonomi dan politik namun pembacanya kurang dan kebanyakannya pembaca luar dari Malaysia. So saya tukar kepada bahasa Melayu dan bincangkan topik yang lebih santai untuk menarik minat pembaca di sini. Blog ini bukan berkisar sepenuhnya mengenai diri saya namun pengamatan terhadap apa yang berlaku di sekeliling dan buah fikiran yang tiba-tiba lahir.
"Dan selalunya kepala akan sarat dengan idea bila tiba waktu exam. Ketika itu selalunya saya akan lebih banyak menulis dalam blog. Namun kebiasaannya sehari saya akan post sekurang-kurangnya dua artikel," ujar penuntut Moscow Aviation Institute, Rusia ini.
Benarkah Blog Boleh Buat Duit?
Benarkah apa yang ditelah sesetengah individu, menulis dalam laman peribadi boleh menjana pendapatan. Adakah menulis sekadar kerjaya mencari makan atau minat? Namun bagi Ariff, apa sahaja yang dilakukan haruslah disertakan dengan minat yang mendalam dan faham arah tujuan agar tidak tersasar.
"Saya mengaku minat dalam penulisan blog ini telah membawa rezeki yang kadang kala tak tersangka. Namun itu bukanlah tujuan utama saya. Walaupun mengambil jurusan Kejuruteraan Penerbangan, namun minat menulis seiring dengan kerjaya yang ingin dilangsaikan masa hadapan. Tak salah melakukan perkara yang datang dengan minat dan menulis adalah minat saya.
"Kalau sekadar berdasarkan kepada duit, rasanya apa yang dilakukan tak akan berkekalan. Bayangkan jika duit hasil menulis blog berkurangan, pasti akan timbul rasa tidak seronok meneruskan minat ini. Pastinya saya tak akan tinggalkan minat menulis kerana hanya dengan ini saya boleh meluahkan segala pandangan dan berharap akan ada yang sudi membaca hasil tulisan saya," kata anak jati Kuala Lumpur ini.
Ariff aktif menulis blog sejak September 2009 dan menyuarakan pandangannya dalam pelbagai aspek kehidupan antaranya perbezaan antara gadis Melayu dan gadis Moscow, kehidupan di Rusia, percintaan dan banyak lagi. Bagi yang berminat boleh layari ariffshah.com.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: