BELUM reda dengan tohmahan menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Maya Karin, Remy Ishak kini terpaksa berdepan pula desas-desus kurang menyenangkan yang mengatakan dirinya semakin cerewet atau demand apatah lagi selepas dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular.
Baginya trofi yang diterima pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2009) April lalu adalah amanat dan penghargaan daripada peminat supaya dia lebih gigih bekerja, bukan tiket untuk membangga diri, jauh sekali mendabik dada mengharapkan ganjaran lumayan.“Nawaitu saya berada dalam bidang lakonan adalah untuk mencari rezeki. Itu saja. Apabila sudah dikenali begini, saya bersyukur. Tiada sekelumit pun rasa riak atau mahu menunjuk-nunjuk. Siapalah saya untuk meminta-minta dibayar tinggi kerana saya masih sedar diri.
Riak kesal jelas terpancar di wajah pelakon berusia 28 tahun itu tatkala satu persatu gosip dilempar terhadapnya, malah apabila diaju perihal Maya Karin yang sebelum ini dikatakan mempunyai hubungan dengannya, Remy sekadar senyum dan memberikan komen ringkas.
Masakan tidak, perihal dirinya dikhabarkan intim dengan bintang Pontianak Harum Sundal Malam kembali hangat sebaik saja Maya dan bekas suaminya, Muhammad Ali Abdullah @Steven David Shorthose disahkan bercerai pada 16 Julai lalu, sekali gus membuatkan nama Remy ‘naik’ semula.
Pastinya gosip seperti ini agak memeningkan Remy. Tambahan pula dia dan Maya seolah-olah seperti ada keserasian apabila digandingkan dalam filem atau teater.
Jelasnya ringkas, walau berada di bawah bumbung pengurusan sama iaitu Satu Entertainment Sdn Bhd, mereka tidak pernah berhubungan semata-mata untuk berbual kosong, apatah lagi keluar bersama hingga boleh menimbulkan ‘cakap-cakap belakang’.
“Dulu mungkin orang nampak kami akrab sebab kami bekerja dalam produksi sama, tetapi selepas ia selesai, kami belum pernah lagi terserempak di mana-mana. Malah tiada sebab untuk kami berhubungan kerana masing-masing sibuk dengan kerja.
“Sebagai rakan, saya hanya mendoakan yang terbaik untuknya (Maya Karin). Tumpuan saya kini hanyalah kepada penggambaran filem Nur Kasih yang sudah hampir siap 100 peratus,” ulas bekas kakitangan hotel yang sudah empat tahun bergelar pelakon.
Remy dan Maya pernah dikatakan mempunyai hubungan peribadi apabila mereka dilihat intim ketika berlakon dalam teater Natrah disusuli penggambaran filem arahan Osman Ali, Cun yang memanaskan lagi kisah keakraban luar biasa mereka. Terdahulu, kedua-duanya dipertemukan dalam filem Anak Halal, juga garapan Osman Ali.
Bakat lakonan anak kedua daripada empat bersaudara itu sebenarnya mula dikesan oleh Osman Ali ketika menghadiri uji bakat untuk filem Akuarium Cinta pada 2006, namun ia belum ditayangkan dan kemudian ditawarkan membintangi Anak Halal serta beberapa drama, namun dilabel hero baru selepas menyerlah dalam Nur Kasih.
Nyata siri Nur Kasih memberi impak besar dalam kerjaya seninya apabila membolot gelaran Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 2009 dengan menewaskan pelakon senior yang sudah beberapa kali dicalonkan.
Sementara itu, bicara empunya nama Mohammad Zalimei Ishak kembali rancak tatkala menyentuh pembikinan buah tangan Kabir Bhatia yang turut mengambil lokasi Jordan, Putrajaya serta sekitar Lembah Klang sebagai latar filem terbabit.
Baginya, watak Adam yang digandingkan bersama Nur Amina lakonan Tiz Zaqyah semakin sarat dengan himpitan emosi dan mainan perasaan, malah pelbagai debaran dijanjikan menanti khalayak hingga sukar untuknya ‘menyimpan’ kejutan.
“Kalau boleh saya hendak ceritakan semua perjalanan emosi keluarga Adam terutama kehidupannya bersama isteri tercinta, Nur Amina selain hubungan mereka dengan abangnya, Aidil lakonan Fizz Fairuz yang kali ini menjadi bapa tunggal kepada dua cahaya mata.
“Tetapi biarlah ia menjadi kejutan ramai hingga tayangannya yang dijangka awal tahun depan. Apa pun dengan skala lebih besar dan plot cerita yang bertambah tragik, selain sinematografi cantik terutama babak di Jordan, ia pastinya tidak mengecewakan,” kata anak jati Melaka itu.
Mengimbas semula pengalaman menjalani penggambaran selama sembilan hari di Jordan bermula 25 Jun lalu, Remy menjelaskan cuaca kering dan panas tidak menghalang krew serta pelakon menyelesaikan kerja mereka mengikut jadual ditetapkan.
Begitupun, keringat yang dicurah sepanjang 36 hari penggambaran dengan babak terakhir pada 23 Julai lalu di lokasi rumah ibu Adam lakonan Liza Othman dirasakan berbaloi apatah lagi dapat bekerjasama semula dengan Kabir Bhatia serta barisan pelakon lain.
“Ketika penggambaran Arjuna tempoh hari saya ‘berkampung’ tiga bulan di dalam hutan dan kali ini sepenuh perhatian saya tumpukan untuk Nur Kasih. Setiap produksi membawa pengalaman berbeza sekali gus mematangkan saya untuk lebih serius bekerja,” akuinya yang lebih suka memerap di rumah apabila bebas dari jadual lakonan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: