Wednesday, July 14, 2010
Tolak tawaran jadi penyampai radio
Sharifah Shahirah, 36, dengan dunia pengacaraan memang sudah sinonim.
Figura yang lebih mesra dengan panggilan Shira ini sememangnya mendapat tempat di hati setiap penonton TV.
Dalam diam-diam sekitar Jun lepas, Shira dikatakan dilamar oleh sebuah stesen radio nombor satu Malaysia, Sinar.fm untuk menjadi salah seorang penyampai.
Walaupun teruja dengan tawaran yang sudah lama diidamkan ini, namun isteri kepada pelakon Zulkifli Azhari (Ijoy), terpaksa menolaknya secara baik.
“Memang saya ada mendapat tawaran menjadi penyampai radio sekitar bulan lepas. Jangan salah anggap, tawaran ini diberikan bukan sebagai pengganti Kak Engku tetapi mereka memberikan satu waktu dan slot sendiri untuk dikendalikan.
“Disebabkan masa yang ditawarkan tidak tepat bagi saya, jadi saya terpaksa lepaskan setelah menimbangkan semuanya. Saya terpaksa tolak buat masa ini dan minta mereka tunggu dulu tetapi tidak mungkin mereka boleh lakukan.
"Ini kerana masa yang diberikan untuk ke udara pada jam 2 petang itu tidak sesuai bagi saya kerana bertembung dengan jadual sebagai pengacara untuk beberapa program sebelum ini,” katanya berterus-terang.
Jauh di sudut hati sedikit terkilan. Namun Shira berjanji mungkin satu hari nanti jika rezeki untuk menjadi penyampai masih lagi miliknya, dia pasti menerima tawaran tersebut.
“Buat masa ini, saya bersyukur rezeki pun murah dan sudah ada tawaran pengacaraan untuk beberapa program.
"Apa pun sedikit terkilan sebab siapa yang tidak mahu kerja di konti radio, kan?” katanya lagi dengan penuh minat untuk menjadi penyampai radio.
Sementara itu, bagi pengacara dan pelakon cantik ini, turut meluahkan pada ketika ini dia hanya akan menumpukan perhatian kepada bidang pengacaraan memandangkan rezekinya memang ke arah itu. Tambahan pula, ibu kepada tiga cahaya mata ini kurang mendapat tawaran berlakon.
Dengan itu, supaya tidak hanya berada di takuk lama, Shira perlu mencari sesuatu kelainan dalam dirinya untuk diketengahkan bagi membuktikan kepada penonton serta peminat bahawa dia boleh pergi lebih jauh sebagai pengacara.
“Sebelum ini saya mempunyai ‘talk show’ sendiri dan yang paling saya suka adalah program Gedik Santai. Walaupun program ini agak ‘simple’ namun banyak perkara yang boleh dikongsi bersama. Ia bersesuaian dan mengikut peredaran semasa, kita perlu ada banyak kelainan barulah orang tidak bosan melihat kita terus bercakap,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: