Thursday, July 8, 2010

Tidak sesekali jaja kisah sendiri

BIARPUN nama Zarynn Min mula meniti puncak kejayaan sebagai pelakon drama, tak banyak kisah mengenai peribadi dan perkembangan kariernya terpapar di majalah atau akhbar tempatan. Bahkan, mungkin masih ramai yang tidak mengenalinya.

pix_middle



Malah, apakah Zarynn sememangnya selesa bersikap ‘low profile’ atau dia berasa tidak memerlukan media? Jujurnya, gadis manis ini mengakui sebagai artis yang baru mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air, dia ingin mendekati media.

Bagaimanapun, ujarnya dia kurang keyakinan diri dan tiada kisah sensasi untuk dikongsikan kepada umum. Justeru, dia terfikir apakah media sudi memberi ruang kepadanya? Namun, Zarynn tegas mengakui dia tiada niat untuk menjauhkan diri.

“Siapalah saya untuk menghindari daripada media. Nama pun tak popular mana dan perjalanan karier ini baru bermula. Selepas lapan tahun berusaha, sekarang masanya saya mendapat peluang yang ditunggu-tunggu untuk melakonkan watak utama.

“Oleh itu, sokongan media sangat saya perlukan. Cuma, terus-terang saya katakan kurang mahir beraksi di hadapan kamera jurugambar majalah atau akhbar. Jadi, saya kekok untuk menampilkan aksi istimewa dan mudah panik untuk memberikan kerjasama.

“Saya risau kalau aksi ditampilkan membuat jurugambar itu marah. Apapun, jika ada wartawan dan jurugambar ingin mengambil foto saya, tiada masalah. Saya sedia memberi kerjasama dan diharapkan tiada yang tersalah anggap terhadap diri ini kerana tidak mesra.“Realiti, saya bukan individu yang sombong dan sebenarnya mudah didekati. Malah, jika ada masa lapang saya takkan mengelak sekiranya media memanggil untuk sesi fotografi. Namun, saya takkan sesekali bertemu media untuk menjaja kisah sendiri,” kata Zarynn.


Menurut Zarynn atau Noraszarinawati Tumin, 29, dia memang tidak mahu dikenali sebagai artis baru yang suka mencari publisiti dengan sengaja. Katanya dia percaya, media tempatan pun tidak sukakan situasi itu dan ada cara tersendiri menanganinya.Berbicara mengenai perjalanan kariernya, Zarynn berkata dia sangat bersyukur dan teruja membintangi drama 68 episod, Aalia yang kini disiarkan di Astro Prima (Saluran 105), jam 9 malam pada setiap Isnin hingga Khamis. Katanya, ia satu lembaran baru.


“Selama ini, saya mengharungi perjalanan sukar untuk membina nama. Ternyata, bukan mudah untuk menjadi anak seni kerana persaingan yang bersilih ganti dan sengit. Setiap hari ada saja pendatang baru yang muncul dalam industri ini untuk berjuang.

“Namun, nasib dan rezeki yang menentukan sejauh mana seseorang pelakon itu mampu bertahan. Begitu juga dengan saya, selepas puas menjadi pelakon pembantu, baru sekarang peluang untuk watak utama diraih dalam genggaman, Itu pun tak disangka.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan Aalia menjadi pembuka jalan untuk saya terus aktif dan bergerak maju sebagai pelakon. Diharapkan, peluang saya pada masa akan datang lebih cerah serta meraih banyak peluang untuk menonjolkan bakat.

“Lagipun, saya menceburi bidang lakonan kerana minat. Apapun, sekarang bidang ini menjadi punca rezeki dan sumber pendapatan saya. Jadi, dalam setiap watak yang saya terima perlulah direalisasikan dengan baik dan tidak menghampakan pengarah,” katanya.

Berasal dari Gombak, Selangor, Zarynn berkata sepanjang kariernya dalam lakonan, dia jarang memilih watak. Katanya, apa saja peranan ditawarkan pasti diterima kerana tidak mahu terlalu cerewet. Malah, apa yang utama dan penting adalah peluang.

“Malah, tidak memilih bukan bermakna saya main ambil saja setiap tawaran itu. Dalam soal ini, saya tetap meneliti setiap watak sama ada sesuai atau pun tidak. Bahkan, kalau saya rasa tidak boleh melakukannya lebih baik lepaskan saja kepada orang lain.

“Apabila mencari rezeki, tidak boleh tamak. Disebabkan itu, jika ia bukan rezeki saya buat apa hendak berebut. Mungkin saya tidak berpeluang bekerja dengan produksi terbabit dan rezeki di tempat lain. Justeru, kena selalu tahu bersyukur,” katanya.

Masih senang memilih hidup membujang, Zarynn berkata hatinya memang sudah dimiliki seseorang. Cuma, bila ‘sampai seru’ dia akan naik pelamin, sukar untuk diumumkan. Menurut Zarynn, buat masa ini dia masih tidak memikirkan soal berumah tangga.

Katanya, setiap wanita pasti menyimpan impian untuk berkahwin, namun jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Tuhan. Oleh itu, dia tidak mahu membuat pengumuman mengenai perkara yang tidak pasti. Katanya, biarlah takdir yang menentukan.


PROFIL
NAMA SEBENAR: Noraszarinawati Tumin
PANGGILAN KOMERSIAL: Zarynn Min
USIA: 29 tahun
ASAL: Gombak, Selangor
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
KERJAYA: Pelakon
DRAMA: Kaber Hero Kaber Zero, Rafflesia, Cahaya, Elly, Sahabat, Tangisan Bulan Madu, Yusuff, Annum, Hati Ini Milik Siapa, Renjis 2, Aku Terima Nikahnya dan Aalia
FILEM: Anak Mami The Movie & Dunia Baru The Movie
PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: