|
|
AMY dan kumpulannya, Search memang nama yang cukup besar dalam persada muzik rock tempatan. Sejak tahun 1985 dia dan Search telah banyak kali mengadakan konsert di seluruh negara.
Amy juga pernah diundang sebagai artis pembuka tirai beberapa penyanyi dan pemuzik rock antarabangsa yang berkunjung ke rantau Asia Tenggara.
Rocker berasal dari Johor Bahru itu misalnya, pernah menjadi artis jemputan konsert artis contohnya, Joan Jett di Singapura pada penghujung tahun 1980-an dan Scorpions di Kuala Lumpur pada awal 1990-an.
Terbaru, vokalis Search itu sekali lagi akan dijemput sebagai artis undangan konsert solo pertama Slash di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor pada 5 Ogos ini.
Meskipun berbesar hati kerana pernah beraksi di atas pentas konsert artis antarabangsa tetapi Amy tetap tidak dapat melupakan pengalaman pahitnya sewaktu berkongsi pentas dengan Joan Jett penyanyi rock wanita dari Amerika Syarikat (AS) tersebut.
"Antara pengalaman pahit saya menjadi artis undangan konsert Joan Jett ialah kawalan keselamatan untuk penyanyi itu sangat ketat. Walaupun menjadi artis undangannya tetapi tidak berpeluang mendekatinya.
"Jangankan hendak berjumpa dengan Joan Jett, hendak bergambar dengannya pun tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan dan pengawal peribadi penyanyi itu.
"Ada satu insiden seorang peminat telah mengambil gambar Joan Jett di belakang pentas dan apabila ia dilihat oleh pengawal peribadinya lantas filem daripada kamera peminat itu dirampas," ceritanya.
Amy berkongsi pengalamannya itu pada majlis mengumumkannya sebagai artis undangan konsert Slash yang dibawakan oleh syarikat penerbangan Firefly di Sunway Hotel Resort & Spa di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Sungguhpun begitu, Amy tetap berbesar hati apabila diberi peluang mengadakan konsert bersama artis-artis antarabangsa kerana ia akan dijadikan medan buatnya menimba pengalaman.
Katanya, walaupun pernah melalui pengalaman pahit seperti itu tetapi dia berharap perkara yang sama tidak berulang pada konsert Slash yang diberi judul Slash Live In Kuala Lumpur 2010 itu.
Menurut Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, tawaran itu sukar ditolak kerana dia sudah lama menyimpan harapan untuk bertemu dan sekali gus menjayakan konsert gitaris handalan dunia itu.
"Saya ingin merasai pengalaman berkongsi pentas bersama Slash yang merupakan antara gitaris terhebat di dunia. Kalau boleh saya juga ingin bertemu dengan Slash semasa konsert itu nanti. Ini kerana, saya sudah lama mengetahui tentang kehebatan Slash.
"Saya harap kawalan keselamatan yang dikenakan ke atas Slash tidak terlalu ketat bagi memberi peluang saya bertemu dengannya," ujarnya.
Jelas penyanyi yang merupakan bapa kepada lima anak dan seorang cucu ini, pada konsert Slash Live In Malaysia itu, dia akan menyanyikan lapan lagu termasuklah lagu-lagu daripada album-album solonya selama hampir 40 minit.
"Saya akan menyanyikan lagu-lagu yang dipetik daripada album-album solo saya antaranya berjudul Aku Dah Bosan dan Kerja Gila sambil diiringi oleh beberapa pemuzik tempatan seperti Edrie Hashim selaku pemain gitar. Saya tidak tampil dengan kumpulan Search.
"Slash muncul dalam konsert solo jadi biarlah saya juga tampil secara solo. Apatah lagi, Search baru sahaja tampil dalam Konsert Double Trouble 2 baru-baru ini. Saya juga rasa bangga kerana adanya syarikat penerbangan seperti Firefly yang mahu menganjurkan konsert seperti ini," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: