Saturday, July 10, 2010

Dasar dengan seribu kejutan


Bertembung dengan kawanan ikan yang bergerak secara kumpulan merupakan detik-detik yang ditunggu oleh penyelam.


SELEPAS hampir sejam setengah terbang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, mata akhirnya tertumpu pada secebis daratan yang timbul di tengah-tengah Laut China Selatan.

Ketika itu pesawat Twin Otter yang memuatkan 11 orang penumpang sedang mencari arah tiupan angin untuk mendarat. Dari udara tiada apa kelihatan di pulau kecil itu kecuali garis laluan panjang yang akan menjadi tempat pesawat mendarat.

"Selamat datang ke Pulau Layang-Layang," ujar salah seorang kakitangan Resort Avillion Layang-Layang sebaik sahaja kami turun daripada pesawat yang berulang alik tiga kali seminggu ke pulau berkenaan.

Tiupan angin di sekitar kepulauan Spratly yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai Sabah itu lebih kuat berbanding pulau-pulau lain di Semenanjung Malaysia. Suasananya cukup damai walaupun tanpa bukit-bukau yang menghijau.

Pulau yang terletak di tengah-tengah Laut China Selatan itu merangkumi kawasan seluas 14 kilometer persegi yang tercantum daripada susunan 13 terumbu karang atau disebut atol.

Itulah Pulau Layang-Layang. Destinasi pilihan WOW! kali ini. Terumbu berbentuk cincin itu dianggap 'Mekah' bagi penyelam skuba dari dalam dan luar negara. Tarikan yang ada bukan sekadar keindahan terumbu tetapi 'bersembunyi' jauh di dasarnya.

Selepas pendaftaran, kami dibawa ke bilik penginapan yang terletak di blok bangunan kayu. Resort yang dibangunkan pada tahun 1996 itu menyediakan dua katil besar dengan pemandangan dari jendela mengadap kolam renang dan laut lepas.

Memandangkan Layang-Layang adalah resort untuk selam skuba, bilangan pelawat di pulau itu biasanya hanya sekitar 50 orang. Namun untuk kapasiti maksimum, Avillion mampu menampung sehingga 120 orang pada satu-satu masa.

Keindahan dunia bawah air di Layang-Layang dipenuhi dengan hidupan marin yang berwarna-warni.

Pada hari-hari terang dan ketika laut tidak bergelora, kejernihan perairan itu memberikan jarak penglihatan sehingga kira-kira 40 meter. Dalam keadaan itu, penyelam mampu melihat apa sahaja yang melintas di depan mata dengan jelas.

Kesegaran terumbu karangnya agak ketara. Begitu juga dengan spesies pelagik seperti penyu dan jerung yang berenang bebas seolah-olah anda tidak berada di situ.

Di bahagian luar terumbu itu, jurang sedalam 2,000 meter menanti para penyelam. Di situlah syurga yang menjanjikan seribu satu kejutan di mana penyelam boleh menemui penghuni-penghuni paling besar.

Sebahagian daripada 14 lokasi selam popular adalah Gorgonian Forest, Wrasse Strip, Wreck Point, D'Wall, Valley dan Navigator Lane.

Sememangnya, boleh dikatakan hampir kesemua lokasi di pulau itu menawarkan selaman dinding dan selaman dalam. Dari permukaan, penyelam boleh turun sehingga kedalaman 35 meter manakala di beberapa kawasan, penyelam harus berwaspada dengan arus deras.

Semasa menjunam ke dasar yang semakin gelap, perhatikan dinding terumbu yang dipenuhi karang-karang gergasi seperti gorgonian dan barrel sponge. Tetapi awas, perhatikan kedalaman anda sepanjang masa.

Gemuruh akan mula memuncak pada kedalaman 30 hingga 40 meter kerana ia adalah paras yang paling ideal untuk mengesan spesies ikon di pulau itu iaitu jerung hammerhead. Ia lebih mudah ditemui di Layang-Layang berbanding tempat-tempat lain di negara ini.

Pertemuan dengan spesies yang biasanya bergerak dalam kumpulan 30 hingga 50 ekor itu dianggap kemuncak selam skuba di situ. Menurut statistik penemuan, hammerhead dikatakan bermusim di kawasan itu antara Mac hingga Mei. Waktu terbaik untuk melawat.

Selain hammerhead, beberapa jenis jerung seperti white tip dan grey reef adalah antara penghuni tetap atol itu. Bagi yang bernasib baik, spesies sukar ditemui seperti jerung paus dan jerung tresher mungkin menyapa.

Antara spesies lain yang boleh ditemui termasuk tuna dogtooth yang membesar sehingga saiz guni padi, napolean wrasse dan spesies seperti alu-alu, jackfish dan trevally yang sering ditemui dalam himpunan seperti puting beliung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: