Friday, July 2, 2010

Terharu tengok kucing dipukul

BENCI dengan perlakuan menganiaya haiwan menjadikan Thanuja Ananthan, 24, lantang bersuara dalam memperjuangkan hak haiwan.

pix_middle



Dia yang sememangnya amat menyayangi haiwan itu tidak dapat menerima kekasaran dan eksploitasi yang dilakukan terhadap haiwan meskipun beralasan untuk dijadikan sebagai bahan kajian demi kebaikan bersama.


Bekas Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010 itu merasakan haiwan yang tidak dapat meluahkan perasaan melalui pertuturan memerlukan perlindungan khusus agar hak mereka didengari.


Dia yang juga duta Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) Asia Pasifik berkata, kesedaran dalam memastikan keselamatan haiwan perlu disebarkan secara meluas.


"Saya cukup terharu apabila melihat banyak anjing dan kucing terbiar berkeliaran tanpa pengawasan dan ada kalanya haiwan berkenaan dipukul kerana kehadirannya tidak disenangi.


"Kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana haiwan berkenaan tidak meminta untuk dibiarkan di jalanan," katanya ketika ditemui di Kelana Square, Kelana Jaya, baru-baru ini.


Baginya, salah satu cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan permasalahan haiwan terbiar yang membiak tanpa pengawasan adalah dengan memandulkan haiwan terbabit.


Bukan berniat untuk menyeksa haiwan itu tapi katanya, sekiranya ia dapat menyelamatkan haiwan terbiar berkenaan daripada terus membiak dan diperlakukan tanpa rasa perikemanusiaan, ia adalah sesuatu yang wajar dilakukan.


Dia yang memiliki dua anjing, lapan kucing, tupai terbang dan ikan sebagai haiwan peliharaan berkata, kehadiran haiwan kesayangan berkenaan dapat memberikan ketenangan selepas seharian penat bekerja.


Boleh dikatakan kesemua haiwan peliharaannya adalah haiwan terbiar tanpa penjaga.


"Saya tidak suka membeli haiwan peliharaan yang mahal, sebaliknya lebih gemar menyelamatkan haiwan terbiar kerana bagi saya tindakan itu lebih mulia."Sejak kecil lagi saya suka menyelamatkan haiwan terbiar. Pernah sekali saya memarahi jiran kerana mencurahkan air panas pada kucing jalanan semata-mata untuk menghalaunya," katanya.


Katanya, belas ihsan, tanggungjawab dan daya keprihatinan memainkan peranan penting dalam menjaga haiwan peliharaan kerana tanpa semua itu proses jagaan terbabit hanya akan bersifat sementara saja.


Gadis manis tinggi lampai yang kini berada dalam tahun akhir pengajiannya dalam bidang undang-undang itu berkata, kesibukan dalam menjalani dua kehidupan antara kerjaya dan pelajaran sememangnya amat memenatkan.


Dia akui perlu pandai membahagikan masa sebaik mungkin agar kedua-duanya tidak mengalami keciciran.

"Saya akan pastikan jadual kerja dan pelajaran tidak bertindih. Oleh itu, setiap kali ada kelas saya hanya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran dan tidak akan menerima sebarang tawaran kerja.


"Pada saya, setinggi manapun kerjaya yang diceburi, pelajaran tetap menjadi keutamaan dan ia perlu dihabiskan dengan cemerlang sebagai bekalan di kemudian hari nanti," katanya.


Selain itu, dia juga mengakui sangat gemarkan makanan terutama makanan pedas. Tapi sebolehnya ia diambil dalam jumlah yang sederhana.


"Tidak salah untuk makan bagaimanapun perlulah berpada-pada. Lebih-lebih lagi saya tidak boleh meninggalkan nasi, sekurang-kurangnya sehari perlu mengambil sekali sajian terbabit.


"Oleh itu, senaman memainkan peranan penting dalam mengimbangi kadar pengambilan bahan makanan seharian," katanya.


Bercakap mengenai penjagaan kecantikan diri pula, Thanuja menegaskan dia tidak gemar pergi ke spa ataupun salun semata-mata untuk melakukan rawatan muka dan rambut.


Katanya, daripada menghabiskan kebanyakan masa dengan berada di tempat itu, sebaiknya waktu terbabit digunakan untuk melakukan pekerjaan yang lebih berfaedah.


"Tidak perlu berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk kelihatan cantik kerana ia tidak menentukan siapa diri kita yang sebenarnya.


"Saya seorang yang amat ringkas, apa yang penting adalah keyakinan diri kerana tanpanya walaupun rupa cantik, orang tidak akan mengakuinya," katanya.



> PROFIL

NAMA: Thanuja Ananthan
USIA: 24 tahun TINGGI: 180 sentimeter
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Model, pelajar dan pengacara
PENDIDIKAN: Jurusan Undang-Undang, Universiti Northumbria, New Castle, United Kingdom.
PENCAPAIAN: Ratu Cantik Dunia Malaysia 2009/2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: