Friday, July 2, 2010

Lydia tak sorok perkahwinan

SEKALIPUN tidak banyak drama apatah lagi filem dilakonkannya, nama Lydia Ibtisam Abdul Wahab bukanlah asing dalam industri seni tempatan. Ternyata drama Impian Ilyana lakonannya untuk dua musim cukup membantu wanita kecil molek ini dikenali.

pix_middle



Pernah dilabel tidak mesra media, anak jati kelahiran Pulau Pinang yang mesra dengan sapaan Lydia ini menolak dakwaan itu. Katanya, dia bukan sengaja mahu menjauhkan diri daripada media, tetapi tiada cerita yang boleh dikongsi bersama.

Berusia 29 tahun, Lydia mengakui dia bukan individu yang gemarkan publisiti murahan. Ujarnya, dunia hiburan yang penuh dengan glamor dan populariti artis ini begitu mendapat perhatian ramai. Justeru, dia memahami dan sedia memberi kerjasama.

"Saya bukanlah tidak mesra media langsung. Cuma, saya akui kurang terbabit dengan sesi fotografi bersama media. Lagipun, saya tak banyak cerita. Apapun, saya tetap sedia memberi kerjasama kepada media jika diperlukan dan takkan mengelak.

"Artis dan media mempunyai hubungan dua hala. Justeru, saya masih sedar mengenai tanggungjawab itu dan memang tiada masalah untuk bekerjasama. Namun, barangkali sikap pendiam dan tak banyak cakap membuatkan saya dianggap sombong.

"Tak kenal maka tak cinta. Jadi, saya percaya sesiapa saja yang sudah mengenali Lydia Ibtisam akan tahu siapa dia sebenarnya. Saya orang yang mudah mesra dan suka ketawa. Malah, dalam kalangan rakan rapat pun saya antara yang suka bercakap," katanya.Sudah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, Ezam Merican, 29, setahun lalu, Lydia dikatakan menyorokkan perkahwinan itu. Dia yang memiliki Sarjana Muda Komunikasi Multi Media dari Universiti Malaya enggan mengundang media.


Menurut Lydia, dakwaan dilemparkan kepadanya itu tidak benar. Katanya, memang dia sudah berkahwin dan tidak pernah menyembunyikan status diri. Bahkan, katanya dia juga ada mengundang media ke majlis bahagianya, tetapi ramai yang tak hadir.

"Jangan tuduh saya begitu. Saya ada mengirim undangan, namun siapalah saya untuk menjadi perhatian media. Saya bukanlah pelakon yang popular sangat. Saya fikir ada ramai artis yang lebih popular di negara ini yang perlu diberikan perhatian.

""Saya tidak sorok soal kahwin dan sekarang bahagia di sisi suami. Saya sangat bersyukur suami cukup memahami karier diceburi ini dan tak pernah sedikit pun menghalang. Cuma, setakat ini kami belum berpeluang memiliki cahaya mata.

"Kami tidak merancang dan barangkali belum rezeki lagi. Apa yang pasti, saya dan suami akan tetap setia menunggu kerana sudah tentu setiap individu yang berkahwin menginginkan zuriat. Bagaimanapun, kami pasrah dengan ketentuan Tuhan," katanya.

Menyentuh karier lakonannya, Lydia berkata dia sangat gembira dan rasa bertuah kerana impian untuk bekerja dengan pengarah diminatinya, U-Wei Shaari termakbul. Katanya dia mendapat watak orang kampung dalam filem Hanyut arahan U-Wei.

"Saya suka pada karya U-Wei sudah lama. Seingat saya ketika itu masih bersekolah apabila menonton drama arahannya, Aku Raja Gunung Ini. Ia drama berseni dan kupasannya begitu halus. Saya sangat tertarik dan ingin mengenali siapa pengarahnya.

"Kata sepupu saya, pengarah itu (U-Wei) jarang berkarya kerana hasil seninya dapat disaksikan setiap 10 tahun sekali. Saya kata, tidak mengapalah kena tunggu lama asalkan dapat berlakon di bawah arahannya. Sejak itu, saya menyimpan impian.

"Entah kenapa, saya begitu yakin dan bertekad mahu memastikan dapat berlakon di bawah arahan U-Wei suatu hari nanti. Saya tidak kisah apa watak yang diberi walaupun hanya untuk menghidang minuman asalkan filem itu karya U-Wei.

"Jadi, saya menghadiri sesi uji bakat mencari pelakon Hanyut. Apapun, saya tidak sangka dipilih dan sangat teruja berlakon dengan bimbingan U-Wei. Bahkan, pengalaman menyeronokkan kerana U-Wei seorang pengarah berkaliber," katanya.

Menurut Lydia, U-Wei cukup teliti mengenai setiap babak yang diinginkan dan apa yang pasti dia tidak pernah memarahi pelakon di lokasi. U-Wei sangat mudah memberikan kerjasama dan tunjuk ajar kepada pelakonnya. Justeru, ia begitu disenangi.

Mengenai program Chopp!! di TV9 yang disiarkan setiap Isnin hingga Ahad, Lydia berkata dia dan sahabat baiknya, pelakon, Nor Azemi Suhaimi atau Tam, 31, datang bersama menghadiri uji bakat yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama.

"Ramai orang yang hadir termasuk artis dikenali juga. Namun, sekali lagi tak sangka ia menjadi rezeki saya dan Tam. Hubungan persahabatan saya dengan Tam sudah lama terjalin dan saya meminati Tam sejak menonton lakonannya ketika dia kanak-kanak lagi.

"Macam U-Wei, saya juga menyimpan impian untuk menjadi sahabat Tam. Nampaknya, setakat ini setiap hasrat saya dimakbulkan Tuhan. Bagaimanapun, sikap pendiam saya sering disalah erti dan ada kalanya orang beranggapan saya memilih kawan.

"Sebenarnya, saya berkawan dengan semua. Cuma, lebih selesa jika kawan itu membuatkan saya serasi dan selesa untuk berkomunikasi. Sebab itu, nampak sangat rapat. Apapun, saya tak kisah orang hendak kata apa asalkan tahu apa yang dilakukan," katanya.

Petah berbicara, Lydia akui bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Katanya, apa yang penting, kena bijak memilih kawan kerana bukan semua orang menyenangi antara satu sama lain. Dalam soal ini, katanya dia perlukan rakan bukan musuh.

PROFIL:

NAMA: Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab
PANGGILAN KOMERSIAL: Lydia Ibtisam
TARIKH LAHIR: 4 Oktober 1980
USIA: 29 tahun
ASAL: Pulau Pinang
KARIER: Pelakon, model iklan & pengacara
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Ezam Merican
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Komunikasi Multi Media, Universiti Malaya
DRAMA/TELEFILEM: Dunia Anita, Natasha, Impian Illyana, Pop Kafe dan Cheritera
FILEM: Hanyut
IKLAN: Telekom Malaysia, Season dan Sunsilk
PROGRAM TV: Chopp (TV9) dan Astro Disney

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: